KUANTAN – Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) memainkan peranan memudahkan pengurusan untuk rakyat memiliki kediaman di negeri itu.
Pengarah Eksekutif (interim) LPHP, Ismayati Ismail berkata, penubuhan organisasi jabatan yang memacu industri perumahan itu bermula 1 Januari lalu seperti diperuntukan di bawah Seksyen 6 Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang 2021.
Terdahulu keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) ke-31/2021 (Khas) pada 16 Ogos 2021 bersetuju meluluskan Cadangan Rang Undang-undang (RUU) dan Penubuhan Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang 2021.
Jelas Ismayati, LPHP berfungsi sebagai penasihat dan penguat kuasa kepada hal-hal berkaitan perumahan bagi menambahkan fungsi selain melaksanakan fungsi sedia ada.
“Dengan adanya LPHP, ia lebih mengurangkan brirokrasi di mana keputusan lebih cepat boleh diambil kerana ada ahli lembaga yang memutuskan perkara-perkara dasar kepada kerajaan negeri.
“Kemudian boleh terus buat dari segi pemilikan tanah kepada lembaga untuk perumahan mampu milik kepada kerajaan negeri, di mana sebelum ini melalui perbadanan kerajaan negeri dan perumahan sekadar pengurus projek,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Tambah Ismayati, LPHP juga akan berperanan menguruskan peminjaman kawalan sektor perumahan termasuk katergori swasata pada masa akan datang.
Selain itu sistem pendaftaran dan jualan rumah akan dikemas kini dan dinaik taraf supaya lebih cekap dan mesra pengguna di mana boleh menyemak kelayakan pemohon dengan cepat.
“Penubuhannya dan perlaksanaan LPHP akan meningkatkan keupayaan negeri untuk menyediakan keperluan kediaman kepada rakyat,” katanya.
Selain melaksanakan projek perumahan, LPHP juga akan memberi fokus kepada Projek Skim Tanah Warisan (STW), Projek Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’TASA),Projek Rumah Rakyat Pahang (RRP) dan Projek Rumah Penjawat Awam Pahang (RPAP).
Difahamkan seramai 12 ahli LPHP dilantik dan telah menerima watikah pelantikan bagi memainkan peranan mereka dalam badan organisasi itu.
Ahli LPHP pula terdiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak; Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Saiful Edris Zainuddin, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Indera Nazri Abu Bakar.
Turut dilantik sebagai ahli LPHP, Exco Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan Exco Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Datuk Abd Aziz Mat Kiram sebagai wakil kerajaan negeri.
Berada dalam senarai yang sama adalah Pengarah Tanah Dan Galian Negeri, Datuk Fadzilla Salleh; Pengerusi Majlis Peguam Malaysia Negeri Pahang, Abdullah Johari Hamzah; Presiden Pertubuhan Perancang Malaysia, Datin TPr Noraida Saludin; Presiden Lembaga Arkitek Malaysia, Datin Ar. Yong Razidah Rashid dan Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Pahang, Wong Kok Loon. – MalaysiaGazette