Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya.

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MoF) mengalu-alukan maklum balas Kertas Konsultasi Awam (KKA) untuk Bajet 2023 bertajuk ‘Penambahbaikan Dasar Perolehan Hijau Kerajaan’ sebelum atau pada 12 September ini.

Cadangan di dalam KKA tersebut dibentangkan dengan objektif untuk menerapkan dan memperkasakan inisiatif hijau di dalam pelaksanaan perolehan kerajaan bagi barangan dan perkhidmatan.

Di samping itu, ianya juga merupakan satu instrumen untuk mencapai aspirasi kerajaan ke arah pembangunan mampan serta sebagai peneraju perolehan hijau bagi memangkin sektor swasta untuk mencontohi usaha kerajaan.

Oleh itu, katanya, semua pihak dijemput untuk memberi maklum balas kepada KKA tersebut melalui pautan https://budget.mof.gov.my/bajet2023/kertaskonsultasi/.

Penerbitan KKA merupakan sebahagian daripada usaha keseluruhan MoF untuk menjadikan proses penyediaan Bajet tahunan lebih telus dan penglibatan semua pihak secara menyeluruh.

Kerajaan yakin penerbitan KKA akan menyediakan lebih banyak peluang kepada semua pihak berkepentingan untuk memberi maklum balas masing-masing bagi membolehkan kerajaan merangka sebuah bajet tahunan yang memenuhi keperluan rakyat, serta selaras dengan dasar pembangunan sosioekonomi negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast