MELAKA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendahului senarai 883 penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran Melaka sempena hari jadi Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam yang ke-73 hari ini.
Ismail Sabri dikurniakan gelaran Darjah Utama Negeri Melaka (DUNM) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.
Menteri Pertahanan Indonesia, Datuk Seri Prabowo Subianto dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay juga menerima pingat Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Zaidi Johari turut menerima anugerah adalah penyanyi lagenda negara Amy Search atau nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman.
Beliau menerima pingat Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk.
Sementara itu, seramai 26 penerima bagi anugerah Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira antaranya Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari, Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, Datuk Zaini Jass.
Turut sama Setiausaha Politik kepada Presiden UMNO, Datuk Abdul Halim Mohammad, Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din dan Setiausaha Khas Kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Datuk Nur Azmi Ahmad.
Seramai sembilan penerima lagi akan dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk iaitu
Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak, Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, Dr Omar Raisul As-Salam Syah A. S Omar dan Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Sumber Manusia, S. Suria Kumar.
Manakala seramai 163 penerima akan menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk antara Duta Malaysia ke Kemboja, Eldeen Husaini Mohd Hashim, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohd Zamri Mat Zain.
Panglima 1 Briged Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Saifulisham Baharun, Pegawai Daerah Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah Saiful Hazwa Kipli, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Waterfront Economic Zone, Mohd Yusof Abu Bakar dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, Dr Rusdi Abd Rahman.
Turut menerima anugerah sama Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Negeri Melaka, Ramli Mohd Ali dan Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri Melaka, Borhan Othman Ali.
Wira banjir yang dikenali Abang Viva, Azwan Omar pula menerima anugerah Pingat Jasa Kebaktian (PJK).
Istiadat penganugerahan akan diadakan mengikut tiga sesi iaitu hari ini yang menyaksikan 347 penerima manakala sesi kedua dan ketiga pada Sabtu ini menyaksikan 536 penerima menjadikan keseluruhan penerima anugerah 883. – MalaysiaGazette