Mohd Azlan Mohd Nor didakwa atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Azlan Mohd Nor, 36, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut dua pertuduhan, tertuduh sebagai ejen Kerajaan Malaysia iaitu Sarjan yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah didakwa meminta suapan wang masing-masing sebanyak RM1,500 daripada dua lelaki.

Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas mereka yang disiasat berkaitan laporan polis.

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan mahkamah benarkannya diikat jamin RM12,000.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 15 Julai 2021 pukul 5.40 petang di bilik nombor 11, Jabatan Siasatan Jenayah, IPD Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPM) 2009 yang boleh dihukum mengikut dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Sementara itu, bapa kepada seorang cahaya mata itu turut dituduh menerima rasuah sebanyak RM1,300 daripada salah seorang lelaki itu.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada jam 6.25 petang, 8 Ogos tahun lalu di tempat yang sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azlan Basri manakala tertuduh diwakili peguam, Chandra Segaran.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 beserta seorang penjamin di samping syarat tambahan perlu menyerahkan dokumen perjalanan, melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan dilarang menganggu saksi.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula dan serahan dokumen pada 26 September ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast