Sebahagian pengamal media yang hadir untuk membuat liputan perjalanan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di penjara Sungai Buloh selepas didapati bersalah atas kes penyewelengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Penajara Sungai Buloh, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 23 OGOS 2022.

SUNGAI BULOH – Kelibat bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak kelihatan meskipun sudah 10 jam pengamal media menanti ketibaannya di pintu utama penjara, di sini.

Rata-rata petugas media yang menunggu sejak pukul 9 pagi hanya tertanya-tanya tentang kenderaan Jabatan Penjara yang keluar masuk menerusi pintu utama itu sambil diiring ketat kenderaan peronda.

Berdasarkan pengamatan, ada kalanya kenderaan yang keluar dan masuk seolah-olah membawa VIP apabila dikawal rapi oleh beberapa buah kereta peronda penjara sambil membunyikan siren.

Bagaimanapun, petugas-petugas media tahu ia bukanlah kenderaan yang membawa Najib.

Sebelum itu, media dimaklumkan, kenderaan khas akan digunakan dari penjara berkenaan untuk mengambil Ahli Parlimen Pekan di Penjara Kajang.

Kenderaan itu dikatakan akan bergerak keluar pukul 4 petang, namun, sehingga pukul 6 petang kenderaan yang dimaksudkan tidak muncul-muncul.

Petugas media kemudiannya sekali lagi dimaklumkan oleh sumber berkenaan bahawa, tidak ada pergerakan kenderaan penjara pada sebelah malam dan waktu terakhir kenderaan jabatan itu akan keluar adalah pada pukul 5 petang.

Terdahulu, Penjara Sungai Buloh yang pernah menempatkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menjadi tumpuan media berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Sabitan itu selamat bagi semua tujuh pertuduhan dan hukuman dikenakan tidak keterlaluan.

Dengan keputusan di akhir prosiding itu, Najib akan mula menjalani hukuman penjaranya berkuat kuasa semalam.

Najib ketika ini menjalani tempoh kuarantin di Penjara Kajang.

Najib, 69, dihantar ke Penjara Kajang kira-kira 5.43 petang semalam menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna hitam diiringi beberapa kenderaan polis dan tiba di penjara pada 6.47 petang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast