Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mencabar Pengerusi Lajnah Dakwah Pas Pusat, Nasrudin Hassan mengemukakan cadangan kepada kerajaan Kelantan supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mengetahui sama ada negeri itu benar-benar sifar rasuah.

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali bersedia secara sukarela menawarkan khidmat sebagai Pengerusi RCI Tadbir Urus Kerajaan Kelantan untuk membuktikan negeri yang diperintah selama 32 tahun oleh Pas itu benar-benar bersih dari rasuah.

“Kalau mahu tahu Kelantan sifar rasuah setelah memerintah selama 32 tahun, sila cadangkan penubuhan RCI bagi membuat siasatan secara menyeluruh dan mendalam mengenai urus tadbir kerajaan negeri.

“Cadangan penubuhan RCI ini penting jika Nasrudin benar-benar jujur, ikhlas dan tidak hipokrit dengan kenyataannya yang boleh dikatakan agak kelakar, lucu dan lembut gigi dari lidah itu,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Nasrudin semalam, kononnya Pas berjaya meletakkan Kelantan sebagai negeri sifar rasuah sepanjang tempoh 32 tahun pentadbirannya di negeri itu.

Nasrudin dilaporkan berkata, pencapaian itu menjadikan Pas sebagai sebuah parti politik yang paling layak bercakap soal integriti.

“Tanpa menafikan sebarang kekurangan yang berlaku, tetapi realitinya kita boleh berbangga bahawa Kelantan adalah sebuah negeri paling berintegriti,” katanya.

Menurut Dr. Ibrahim, pemimpin Pas itu mungkin terlupa bahawa sebelum ini sudah ada kes yang melibatkan rasuah didakwa di mahkamah termasuk Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB).

Beliau juga mengingatkan Nasrudin mengenai isu pembalakan di hulu Kelantan, yang mana balak bernilai RM5 juta telah disita.

Katanya, begitu juga dengan pokok getah kepunyaan peneroka Bukit Tandak di Rantau Panjang yang ditebang setelah dilulus secara runding terus kepada sebuah syarikat, sedangkan kes itu masih dalam perbicaraan mahkamah.

“Anda lupa, bagaimana kezaliman kerajaan Pas Kelantan terhadap penduduk di Kampung Paloh, Kota Bharu dan banyak lagi isu lain?

“Ukuran atau persepsi sifar rasuah bukan sahaja diukur dari kes yang dibawa ke mahkamah, tetapi sesebuah kerajaan atau seseorang pemimpin mesti bersih dan wajib dilihat bersih.

“Bahkan, sifar rasuah mesti juga sifar kezaliman. Apakah kelulusan kawasan balak dan tanah kononnya untuk pembangunan dikira tidak berlaku salah guna kuasa atau rasuah bawah meja?” soal beliau.

Ujar bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu, masalahnya banyak kes yang dilaporkan ‘hilang’ begitu sahaja dan kalau ada pun diangkat ke Pejabat Peguam negara untuk diputuskan sama ada ada pendakwaan atau tidak.

Tetapi, katanya, siapa boleh menjamin segala-galanya bersih atau sifar rasuah, kerana sistem di negara ini agak kompleks serta rumit.

“Agensi penguatkuasaan pun ada yang terlibat dengan salah guna kuasa. Sudah bertimbun cerita mengenainya sebelum ini.

“Jadi, Nasrudin tidak payah untuk melelong jualan murah kononnya Kelantan sifar rasuah. Beliau bukan anak Kelantan dan tidak tahu semua apa yang berlaku dalam kerajaan negeri itu,” katanya. – MalaysiaGazette