KENANGAN. Najib beramah mesra dengan Wan Rosdy semasa kempen PRK DUN Chini.

KUANTAN – Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang  berkongsi rasa sedih dengan nasib yang menimpa Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Menurut pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, setiap jasa, keringat dan sumbangan yang telah Najib curahkan selama ini tetap akan dikenang.

“Malah, perjuangan dan komitmen tidak berbelah bahagi Najib dalam mempertahankan parti dan membongkar penipuan serta putar belit pihak lawan sentiasa menjadi inspirasi kepada kami,” katanya dalam hantaran di Facebook malam tadi.

Wan Rosdy turut memberi jaminan Parlimen Pekan akan terus dijaga, diurus tadbir dan diberi perhatian sewajarnya demi manfaat rakyat secara keseluruhannya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad pula berharap supaya semua pihak reda dengan ketentuan tuhan.

“Kita sudah pasti bukan nabi dan bukan rasul. Kita adalah hamba yang diuji dengan sedikit amanah. Jika Datuk Seri (Najib) terus kekal tabah dan mengharumi dengan kesabaran maka sudah pasti ia menjadi serambi kepada hakikat kemenangan yang bersifat abadi,” tulisnya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Meski menghormati keputusan ditetapkan mahkamah, beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADUN) Kerdau sependapat dengan Wan Rosdy bahawa bekas perdana menteri itu sewajarnya diberi ruang untuk membela dan menjelaskan pertuduhan yang dibuat.

Namun, katanya, itulah ketetapan yang sudah tertulis dan ia harus diterima semua pihak dengan hati terbuka.

“Dalam waktu yang sama, ini tidak mematikan tradisi yang dibawa oleh Najib seperti syiar keagamaan, membela rakyat, mengubal dasar-dasar kebajikan rakyat, pendidikan, keselamatan, memperkasakan hubungan yang baik dengan dunia luar dan sebagainya terhenti,” tambahnya.

Selain itu, ADUN Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Arif juga menyeru semua ahli dan penyokong parti itu di Pekan untuk terus bersatu hati dan tidak berpecah belah susulan kejadian yang menimpa pemimpin mereka.

“Sudah tentu kita di Pekan merasa amat sedih dan sukar menerima keputusan ini kerana kita tahu bagaimana sayangnya Najib kepada kita semua di Pekan ini,” tulisnya dalam hantaran di Facebooknya.

“Namun Allah lebih mengetahui akan sesuatu yang terjadi. Kepada Allah kita berserah segalanya. Jasa dan sumbangan beliau amat besar buat kita di Pekan, sudah pasti kita tidak akan melupainya,” kata Mohammad Fakhruddin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast