Kamarul Zaman Mamat menunjukkan gambar suspek yang terlibat dalam penyelewengan pindah milik tanah Kejora di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Tujuh ahli lembaga pengarah sebuah koperasi dan seorang pegawai pejabat tanah termasuk empat bergelar Datuk ditahan polis Johor kerana didapati terlibat kes penipuan pindah milik tanah Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) di Kluang.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek yang ditahan dalam Op Pekaka itu berusia 46 hingga 75 tahun.

“Ada dalam kalangan mereka yang ditahan itu merupakan Ahli Lembaga Pengarah koperasi tersebut dan seorang pegawai pejabat tanah yang bertanggungjawab ketika transaksi pindah milik dilakukan.

“Kesemuanya kita berjaya tahan antara jam 3 petang hingga 8 malam semalam (Rabu) ketika hadir memberi keterangan kepada polis masing-masing di Johor, Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Kamarul Zaman berkata, polis menjalankan siasatan kes itu selepas menerima satu laporan polis pada Januari lalu daripada seorang penolong pegawai tanah sebuah agensi badan berkanun milik sebuah kementerian, yang mendakwa mempunyai tiga lot tanah berkeluasan lebih 1,699 hektar milik Kejora dipindah milik tanpa kebenaran.

Tanah itu katanya, bernilai lebih RM100 juta di daerah Kluang telah dipindah milik kepada sebuah syarikat persendirian tanpa pengetahuan dan kebenaran agensi berkenaan.

“Tiga lot tanah yang terbabit dalam kes ini adalah tanah yang dianugerahkan kerajaan negeri kepada Kejora pada 1987 dengan nilai RM1.47 juta,” katanya.

Tanah itu kemudian telah dipajak kepada sebuah koperasi pada 1994 dan koperasi tersebut yang kini sudahpun dibubarkan.

“Kita percaya dalam tempoh pembubaran itu, berlakunya pindah milik milik kepada individu lain dengan nilai melebihi RM100 juta,” katanya.

Urusan pindah milik terlibat dikesan berlaku pada pertengahan tahun lalu.

Semakan yang dibuat mendapati tanah itu kini diusahakan sebagai ladang kelapa sawit.

Menurut beliau, sepanjang tempoh siasatan dijalankan, seramai 28 saksi terdiri daripada pengarah syarikat, setiausaha, peguam, pelikuidasi, pegawai Pejabat Tanah dan Galian negeri serta pegawai agensi badan berkanun turur dipanggil memberi keterangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Bagaimanapun semua suspek diberikan jaminan polis selama sebulan sementara pihaknya menyiapkan kertas siasatan dan kemudian menunggu arahan selanjutnya dari pejabat Timbalan Pendakwa Raya.-MalaysiaGazette