Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada majlis sambutan Hari Wanita Kebangsaan ke-60 di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Kadar penyertaan tenaga buruh wanita pada tahun lalu hanya mencecah 5.5 peratus.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan jumlah berkenaan rendah dibandingkan dengan negara Asia Tenggara yang lain.

“Negara kini berdepan cabaran utama apabila populasi perempuan pada tahun 2020 adalah 47.7 peratus iaitu hampir separuh daripada populasi Malaysia.

“Seperti Singapura kadar penyertaan buruh wanita sebanyak 69.7 peratus dan Thailand sebanyak 66.8 peratus,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Sambutan Sambutan Hari Wanita Ke-60 Anjuran Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO).

Selain itu katanya, kadar penglibatan wanita dalam semua peringkat pendidikan sama ada rendah, menengah atau tertiari adalah tinggi namun berbeza dengan aspek kadar penyertaan dalam pasaran buruh, penglibatan wanita adalah rendah.

“Sebab itulah kerajaan pada Mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) sebelum ini telah bersetuju mewujudkan Gender Focal Point dan Gender Focal Team di setiap kementerian dan agensi sebagai usaha mengarus perdana gender dalam setiap perancangan, pelaksanaan dasar dan inisiatif Kerajaan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Sambutan Hari Wanita Ke-60 Anjuran Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO).

Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan mencemar duli.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Selain itu kata Perdana Menteri, beberapa inisiatif telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengupayakan wanita,antaranya melaksanakan program TEKUNNita di bawah TEKUN Nasional yang melibatkan peruntukan sebanyak RM19.9 juta bagi tahun 2022.

Sehingga kini seramai 1,264 usahawan wanita telah menerima manfaat.

Manakala, sehingga 31 Julai, seramai 265 peserta telah mendapat pembiayaan di bawah program DanaNita dengan peruntukan sebanyak RM10 juta di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA).

“Program MyKasih Kapital pula telah dilaksanakan bagi memberi bantuan asas modal perniagaan secara one-off sebanyak RM500 bagi menggalakkan wanita berniaga.

“Program ini telah bermula sejak April 2021 hingga Julai 2022 dan seramai 10,496 wanita dalam kalangan B40 telah menerima manfaat,” tambah beliau.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast