ACP Beh Eng Lai

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang ditemui mati di tempat letak kereta bersebelahan Bangunan TKS Business Center, Jalan Segambut, di sini pada pagi Selasa lalu dipercayai telah dibunuh.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, menurut pegawai perubatan, terdapat beberapa kesan lebam di bahagian tangan kiri, tangan kanan dan juga bahagian badan mangsa selain beberapa kesan cedera yang tidak jelas di bahagian dahi serta dada lelaki itu.

‘”Motif pembunuhan masih belum dapat dikenalpasti dan polis akan memulakan usaha mengesan suspek yang terlibat dalam insiden tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Eng Lai, pihaknya menerima maklumat daripada panggilan Mers 999 berkenan penemuan seorang lelaki meninggal dunia di tempat letak kereta, sebelah Bangunan TKS Business Center pada jam 10.17 pagi Selasa lalu.

Tambah beliau, anggota polis yang tiba ditempat kejadian mendapati mangsa terbaring di atas tembok batu penutup longkang berhampiran tapak projek binaan dengan berpakaian lengkap baju dan seluar.

Katanya, identiti mangsa tidak dapat dikenalpasti kerana  tiada dokumen pengenalan diri yang dijumpai pada mangsa namun berdasarkan suntikan BCG yang terdapat di bahunya mangsa adalah warga Malaysia.

Eng Lai berkata, pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur yang menjalankan siasatan tempat kejadian tidak menemui senjata atau barang kes yang boleh dikaitkan dengan kejadian itu.

Katanya, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat dan hasil autopsi mendapati punca kematian disebabkan Blunt Force Trauma to the Head.

Tambah beliau, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206. – MalaysiaGazette