Seorang lelaki yang tidak dikenali membuat kecoh semasa prosiding kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki misteri yang muncul di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur tengah hari tadi ketika kes melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berlangsung di Mahkamah Tinggi dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, petugas di mahkamah telah melarang dan menghalang lelaki berkenaan daripada memasuki kamar mahkamah kerana tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes berkenaan dan mengarahkannya untuk beredar secara baik.

“Namun, apabila sampai di perkarangan mahkamah, lelaki berkenaan bertindak membuat ucapan dengan suara yang lantang dan kuat ke arah media yang sedang terlibat dalam tugas liputan perbicaraan kes 1MDB Datuk Seri Najib Razak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, polis  juga telah mengarah suspek supaya beredar dan tidak mengganggu ketenteraman awam di bangunan mahkamah itu.

Menurut Eng Lai, siasatan polis mendapati suspek merupakan seorang guru dan dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental.

Katanya, pihaknya akan memanggil lelaki itu untuk diambil keterangan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat awam dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana memberi ucapan dengan niat mengganggu keamanan. – MalaysiaGazette