Home Nasional Pasar jadi pusat pembiakan jentik-jentik diberi notis pembersihan

Pasar jadi pusat pembiakan jentik-jentik diberi notis pembersihan

BUTTERWORTH – Dua notis pembersihan dikeluarkan masing-masing terhadap Pasar Awam Bagan Ajam serta pemilik sebuah tapak semaian di Pekan Darat di sini, hari ini dalam usaha mengekang pembiakan jentik-jentik.

Ketua Unit Inspektorat Cawangan Penyakit Bawaan Vektor Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Mohd Wazir Khalid berkata, notis di bawah Seksyen 8 Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 itu dikeluarkan selepas pihaknya menemui jentik-jentik di kedua-dua lokasi berkenaan.

Jelasnya, pembiakan jentik-jentik ditemui pada bahagian perangkap minyak di gerai jualan makanan pasar itu manakala tapak semaian pula di dalam pasu terbiar.

Mohd Wazir.

“Kita lihat potensi untuk pembiakan jentik-jentik di pasar adalah tinggi di samping lalat, lipas serta tikus.

“Malah, berdasarkan pemeriksaan ternyata kita menemui tempat pembiakan jentik-jentik dan juga lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan lalat,”katanya kepada pemberita sebaik selesai ‘Ops Vektor’ di kawasan Butterworth hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Wazir berkata, notis penutupan akan dikeluarkan jika tindakan susulan gagal dilaksanakan oleh pihak yang bertanggungjawab menjaga pasar berkenaan serta pemilik tapak semaian terbabit.

“Hari ini kita bagi notis pembersihan dulu jika masih gagal patuhi tindakan penutupan akan diambil demi kepentingan kesihatan umum.

Mohd Wazir menunjukkan jentik-jentik yang ditemui pihaknya ketika melakukan Ops Vektor di Pasar Awam Bagan Ajam, Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

“Pemeriksaan khas ini dilakukan bagi mengurangkan kadar jangkitan demam denggi yang semakin meningkat,” ujar beliau.

Pulau Pinang merekodkan 283 kes demam denggi dari Januari hingga 19 Jun tahun ini iaitu peningkatan 30 peratus berbanding 217 kes tempoh sama tahun lepas. – MalayisaGazette