Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli diminta tampil memberikan bukti kukuh wanita yang dikaitkan dengan isu kapal tempur pesisir (LCS) Zainab Binti Mohd Salleh adalah isteri kepada Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) itu buat kali ketiga menafikan mempunyai sebarang kaitan dengan Zainab Binti Mohd Salleh seperti yang didakwa oleh Rafizi.

Abd. Latiff berkata, wanita itu bukan isterinya atau bekas isterinya.

“Andaikata saudara Rafizi betul betul yakin bahawa Zainab Binti Mohd Salleh ialah isteri kedua saya, maka sila kemukakan bukti.

“Sebagai anggota kabinet, saya bersedia untuk disiasat bagi membuktikan kebenaran apa yang saya katakan. Hentikanlah menabur fitnah,” katanya.

Rafizi hari ini mencabar Abd. Latiff supaya menyaman beliau sekiranya segala tuduhan yang dilemparkan kepada bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu merupakan satu fitnah.

Bagaimanapun dalam kenyataan terbaharunya, Ahli Parlimen Mersing itu tidak menyahut cabaran yang dibuat oleh Rafizi.

Dr. Abd. Latiff sebaliknya mendakwa, dia telah dijadikan bahan serangan oleh Rafizi untuk cuba menunjukkan bahawa pemimpin Bersatu korup dan tidak layak dipilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Abd Latiff juga mendakwa Rafizi telah menyembunyikan fakta dalam pendahuluan laporan forensik oleh Alliance IFA (M) Sdn Bhd (Alliance) kepada Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC) secara jelas telah memberikan amaran “Notice to the Reader”.

Amaran tersebut berbunyi,”Dalam menyusun laporan ini, kami bergantung kepada lisan dan dokumen representasi yang dibuat kepada kami oleh orang yang dikaitkan dengan isu yang berkaitan dengan ulasan kami. Kami tidak dapat menilai kebenaran representasi ini.”

Beliau berkata, Rafizi juga sengaja menggunakan laporan forensik Alliance sedangkan dokumen tersebut hanya merupakan satu deraf yang tidak ditandatangani dan yang tidak dapat disahkan kandungannya.

“Rafizi bukan sahaja tidak jujur, malah dengan sengaja membuat fitnah apabila menyembunyikan fakta bahawa terdapat laporan forensik sebenar yang ditandatangani oleh Alliance yang secara jelas tidak menyebutkan bahawa Zainab ialah isteri kedua saya.

“Walaupun saya telah memberikan penjelasan, Rafizi masih berterusan dengan pembohongannya,” kata Abd. Latiff.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa dirinya tidak memainkan sebarang peranan dalam kontrak LCS tersebut.

Abdul Latiff juga menolak tuduhan bahawa keluarganya mendapat sebarang kontrak pertahanan atau pembekalan dengan Kementerian Pertahanan semasa menjadi Timbalan Menteri Pertahanan.-MalaysiaGazette.