KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mempunyai platform lain untuk berpolitik sekiranya dipecat oleh parti UMNO.
Menurut Ketua Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijemput untuk bersama-sama Pejuang dalam Gerakan Tanah Air (GTA) sekiranya beliau dipecat.
“GTA yang dipengerusikan oleh Tokoh Negarawan terulung Tun Dr Mahathir Mohamad di samping tokoh-tokoh pemimpin Melayu yang amat berprinsip sedang menggabungkan tenaga ‘Melayu baik’ ke arah memertabatkan semula maruah Melayu seterusnya membina negara ‘Malaysia Baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun beberapa pemimpin UMNO hari ini mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa parti itu ada memberikan kata dua kepada Ismail Sabri.
Memetik laporan The Vibes, Ahli Parlimen Bera itu didakwa diugut untuk menuruti empat kehendak mereka atau berdepan kemungkinan dipecat pada taklimat khas parti oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi esok.
Antaranya menyingkirkan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, memecat Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, mendapatkan pengampunan Diraja untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan mengadakan pilihan raya segera.
Bagaimanapun Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menafikan dakwaan itu.
Sebelum ini timbul satu poster kononnya Ahmad Zahid mengarahkan Ketua UMNO bahagian mendesak cawangan supaya membuat usul meminta Perdana Menteri membubarkan Parlimen.
Ahmad sebelum ini berkata, penyebaran poster berkenaan adalah satu usaha untuk memecah belahkan parti itu. – MalaysiaGazette