Bekas Pengerusi Tabung Haji yang juga Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim. Foto HAZROL ZAINAL.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini sekali lagi menangguhkan keputusan rayuan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim bagi membatalkan 13 tuduhan menerima rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali membuat keputusan itu selepas pasukan pembelaan memberitahu Abdul Azeez tidak dapat hadir ke mahkamah kerana dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) awal pagi tadi akibat acute gastroenteritis.

Hakim Kamaludin berkata, mahkamah tidak mempertikai tahap kesihatan Abdul Azeez namun perayu ada hak untuk menarik diri daripada rayuan itu.

Mahkamah kemudian menetapkan keputusan rayuan pada 5 September ini.

Peguam bela, Amer Hamzah Arshad berkata, pihaknya akan menyediakan dokumen berkaitan seperti sijil cuti sakit kepada pihak mahkamah.

Pada 1 Julai lalu, pembelaan turut memohon keputusan rayuan bekas Pengerusi Tabung Haji itu bagi membatalkan tuduhan berkenaan di Mahkamah Rayuan, ditangguhkan.

Amer Hamzah ketika itu memberi alasan bagi memberi ruang dan masa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap penemuan fakta serta bukti baharu kes itu yang diserahkan oleh pihaknya kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Hakim Kamarudin yang membenarkan keputusan itu menegaskan, mahkamah menangguhkan keputusan rayuan ini buat kali terakhir.

Mengikut pertuduhan, Abdul Azeez didakwa atas 13 pertuduhan berkaitan projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya di Kedah dan Perak iaitu melibatkan tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan 10 pertuduhan penggubahan wang haram.

Projek tersebut melibatkan Lebuh Raya Persisiran Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak).

Pertuduhan rasuah itu didakwa dilakukan di Bank CIMB cawangan Menara UAB, di sini pada 8 Disember 2010 dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Pada 12 Mac 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan Abdul Azeez untuk membatalkan kesemua pertuduhan itu atas alasan permohonan tersebut tidak mempunyai sebarang merit yang membolehkan mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk berbuat demikian.

Pada 12 April 2021, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Ahli Parlimen Baling itu untuk menangguhkan perbicaraan kes itu di Mahkamah Sesyen sehingga tamat rayuan bagi keputusan mahkamah terdahulu.

Seramai tujuh saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula 19 Ogos 2020. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast