Kereta kebal mengalami kerosakan terhenti di tengah jalan dalam kejadian pagi tadi di ibu negara. Gambar Ihsan KLCCC DBKL

KUALA LUMPUR – Sebuah kereta kebal milik Tentera Darat yang terlibat dalam raptai sambutan Hari Kemerdekaan berhenti di lorong tengah sebuah jalan utama di ibu negara kerana mengalami kerosakan.

Insiden jam 10.30 pagi di Jalan Damansara susur keluar ke Carcosa Sri Negara dan KL Sentral menyebabkan laluan terhalang.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Zurida Hashim berkata, kereta kebal itu terlibat dengan sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka yang bermula hari ini.

“Ya. Bahagian pemantauan Trafik DBKL telah mengesan kejadian sebuah kereta kebal mengalami breakdown kira-kira jam 10.30 pagi di Jalan Damansara susur ke Carcosa Sri Negara dan KL Sentral.

“Bagaimanapun, kereta kebal tersebut telah ditunda pada jam 11.20 pagi oleh sebuah kereta kebal yang lain yang dikendalikan oleh pasukan tentera yang bertugas,” katanya kepada ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Tambah beliau, berikutan kejadian itu, warden trafik DBKL, Renjer bantuan awal DBKL dan Polis Trafik DBKL bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat insiden tersebut.

“Mereka berjaya mengawal keadaan, menyuraikan aliran trafik di jalan utama itu bagi mengelak kesulitan orang awam,” ujarnya. – MalaysiaGazette