KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret hari ini membenarkan ikat jamin sebanyak RM4,000 ke atas Setiausaha Agung parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amir Abd Hadi yang didakwa terlibat dengan perhimpunan berkaitan isu projek kapal tempur pesisir (LCS).
Majistret, Fardiana Haryanti Ahmad Razali membenarkan ikat jamin dengan jumlah tersebut selepas Amir membuat pengakuan tidak bersalah menganjurkan perhimpunan di hadapan Kompleks beli-belah Sogo pada 14 Ogos lepas.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan Pendakwaraya, Fatin Hanum Abdul Hadi, Amir telah gagal memaklumkan kepada pihak berkuasa berhubung penganjuran perhimpunan berkenaan lima hari sebelum ia diadakan.
Disebabkan itu, beliau telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 9 (5) akta yang sama.
Sabit kesalahan, Amir boleh didenda tidak melebihi RM10,000.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 3 November depan sebagai tarikh untuk sebutan semula kes.
Amir yang merupakan pelajar tahun akhir jurusan Sarjana Sains Politik dari Universiti SOAS United Kingdom diwakili Peguam Raj Surian Pillai dan Peguam Beatrice Chin dari Tetuan Amer Bon.
Pada 14 Ogos lalu, kumpulan penganjur yang menggelarkan diri mereka Jawatankuasa Protes Mana Kapal LCS? dalam kenyataannya, menuntut kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat segala salah laku yang berlaku.
Sebelum ini, media melaporkan, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pelaksanaan perhimpunan itu gagal mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
Hasil pemerhatian yang dibuat, kira-kira 60 individu terdiri daripada ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelajar, ahli politik dan beberapa individu menyertai perhimpunan itu yang telah dan belum dikenal pasti.
Difahamkan, seramai 13 individu telah dikenal pasti dan mereka akan dipanggil untuk dirakam keterangan. – MalaysiaGazette