Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim . Foto AFFAN FAUZI, 05 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Polis meminta pihak berkaitan membuat laporan mengenai dokumen yang didakwa kertas keputusan penghakiman kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion yang tular di media sosial.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Azmi Abu Kassim berkata, laporan yang dilakukan itu akan membolehkan polis memulakan siasatan mengenai perkara itu.

“Setakat ini Polis KL belum menerima apa-apa laporan dari mana-mana individu berkaitan insiden (kebocoran dokumen keputusan).

“Bagaimanapun, polis menasihatkan pihak berkaitan (pengurusan mahkamah) agar tampil membuat aduan di balai polis berhampiran agar membolehkan polis menjalankan siasatan berkaitan insiden itu,” kata ketika dihubungi hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat dokumen keputusan kehakiman kes rayuan SRC tular

Kebocoran dokumen itu disiarkan lengkap dengan isi kandungan keputusan tiga muka surat itu oleh Raja Petra Kamarudin dalam portal, Malaysia Today.com

Ini merupakan insiden kedua membabitkan kebocoran dokumen keputusan kes perbicaraan mahkamah selepas dokumen keputusan kehakiman kes rayuan akhir membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak pula bocor menerusi portal berita yang sama pada Selasa lalu.

Berikutan itu pihak pengurusan Mahkamah Persekutuan tampil membuat satu laporan polis pada 23 Ogos lalu. – MalaysiaGazette