Azmi Abu Kassim

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan telah menerima satu laporan mengenai dokumen keputusan kehakiman kes rayuan SRC International Sdn. Bhd. membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tular di laman media sosial.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Azmi Abu Kassim berkata, laporan itu dibuat oleh pegawai mahkamah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada 23 Ogos lalu.

“Ya, ada laporan diterima semalam (Selasa) dan siasatan sedang dijalankan oleh polis. Setakat ini kita sudah merakam keterangan daripada pengadu dan juga pegawai Komunikasi Korporat Mahkamah Persekutuan dalam kes ini.

“Polis juga sedang dalam tindakan untuk merekod keterangan daripada beberapa orang lain yang boleh membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambah beliau kes sedang disiasat di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan iaitu pendedahan maklumat, Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Pada Selasa, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia menerusi satu kenyataan telah mengesahkan satu draf penghakiman bertulis bertajuk Najib Razak’s SRC Appeal: The Judgement didapati bocor.

Bagaimanapun, Pejabat Ketua Pendaftar menjelaskan bahawa ia adalah draf kerja penghakiman yang belum dimuktamadkan lagi, selain dokumen berkenaan telah diubah suai.

Sementara itu, Azmi menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau membuat hebahan berita yang tidak benar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast