Datin Seri Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR – Sebelum ini dokumen penghakiman terhadap kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membabitkan dana SRC International Sdn. Bhd. tular di media sosial sebelum keputusan rasmi dibacakan di Mahkamah Persekutuan pada Selasa.

Hari ini kejadian yang sama berulang, dokumen yang didakwa kertas keputusan penghakiman berkaitan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion tular di media sosial.

Dokumen terdiri daripada tiga muka surat kertas keputusan kes berkenaan mula disebarkan portal Malaysia Today hari ini.

Keputusan kes berkenaan sepatutnya dibacakan di Mahkamah Tinggi pada 1 September ini.

Menurut pengendali portal tersebut, Raja Petra Kamaruddin, keputusan bersalah Rosmah telah pun ditulis dalam keputusan penghakiman itu.

“Anda boleh melihat ringkasan tiga muka surat penghakiman bertulis 74 halaman di bawah. Bagaimanapun, penghakiman bertulis tidak ditulis oleh hakim bicara. Ia ditulis bagi pihak hakim bicara oleh seseorang atau orang yang tidak dikenali. Tugas hakim hanya menyampaikan keputusan minggu depan,” kata Raja Petra Kamaruddin.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada tiga helai dokumen yang dikongsi beliau dalam portal itu tulen atau sebaliknya.

Sehingga berita ini ditulis, masih belum terdapat sebarang kenyataan daripada Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan berhubung pendedahan yang dibuat oleh Raja Petra Kamaruddin di portal terbabit.

Sebelum ini, pada 23 Ogos lalu, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan menjelaskan dokumen tular yang didakwa kertas keputusan kehakiman berkaitan kes rayuan Najib adalah draf yang belum dimuktamadkan.

Pihaknya turut mengesahkan dokumen berupa draf kerja penghakiman bocor dan diubah suai.

Penjelasan itu susulan laporan portal Malaysia Today bertajuk Najib Razak’s SRC Appeal: THE JUDGEMENT yang disiarkan pada hari sama keputusan Najib dibacakan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada sebelah petang.

“Pejabat ini mendapati penghakiman disiarkan portal itu adalah suatu draf kerja bagi penghakiman dalam tiga rayuan berhubung kes Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak v PP yang bocor kepada pihak media.

“Pejabat ini mengesahkan draf kerja penghakiman yang bocor itu adalah draf kerja yang belum dimuktamadkan.

“Penghakiman muktamad hanya disampaikan di mahkamah terbuka pada lebih kurang empat jam pada tarikh sama. Didapati dokumen yang bocor itu sudah diubah suai,” katanya dalam kenyataan.

Media sebelum ini melaporkan Pemuda UMNO akan membuat laporan polis berhubung penularan satu dokumen yang didakwa keputusan penghakiman Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan terhadap kes Najib.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, laporan polis tersebut dibuat agar siasatan segera dapat dilakukan terhadap penularan dokumen terbabit.

“Amat memeranjatkan apabila tular satu dokumen yang dikatakan satu kertas keputusan penghakiman Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan terhadap rayuan Kes SRC Datuk Seri Najib Razak walaupun prosiding mahkamah masih berjalan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast