Abdul Latiff (kiri) dan Rafizi.

KUALA LUMPUR – “Isteri atau Isteri-isteri saya tiada yang bernama Zainab binti Mohd Salleh”.

Itu penegasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad terhadap tuduhan yang dilemparkan oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Dalam kenyataan terkini, Ahli Parlimen Mersing dari Bersatu itu turut menegaskan tidak ada seorang pun ahli keluarganya terlibat dalam perniagaan yang membabitkan projek kapal tempur pesisir (LCS).

“Salam Jumaat yang penuh barakah penghulu segala hari. Semoga apa saja yang kita lakukan hari ini membawa kebaikan buat semua dan beroleh keberkatan dari Yang Maha Esa.

“Isteri atau Isteri-isteri saya tiada yang bernama Zainab binti Mohd Salleh.

“Tiada ahli keluarga saya yang terlibat dalam bisnes melibatkan pembekalan atau pembinaan kapal LCS,” tulis beliau dalam Facebook.

Dalam pada itu Abd Latif turut menyindir Rafizi yang mengelarkannya dirinya sebagai jerung.

Secara sinis menurut beliau, mereka yang suka bercakap bohong akan mati dan bangkit sebagai hantu jerangkung.

“Sebagai wakil rakyat dari kawasan Laut dan Pulau (Mersing). Saya suka makan ikan tapi bukan ikan jerung.

“Siakap senohong gelama ikan duri, Cakap bohong lama lama jadi pencuri, Siakap senohong gelama ikan jerung, Cakap pembohong tak lama mati jadi jerangkung. Sekian, terima kasih,” katanya.

Rafizi dalam hantaran terbaharu semalam mendakwa, sekiranya Abd Latiff tidak membuat penafian bermakna adalah benar Zainab merupakan isteri bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu.

“Sejak saya mendedahkan seorang yang bernama Zainab Mohd Salleh (670430-01-XXXX) sebagai individu yang dinamakan sebagai isteri Datuk Dr. Latiff Ahmad (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) di dalam Laporan Forensik Projek LCS, sehingga sekarang Dr. Latiff tidak menafikan kenyataan itu.

“Satu-satunya kenyataan yang dikeluarkan adalah sebelum saya mendedahkan identiti sebenar Zainab Mohd Salleh. Penafian Dr Latiff (bahawa Zainab Mohd Salleh bukan isteri saya) jelas merujuk kepada individu lain (iaitu CFO Dialog Berhad) bertujuan untuk mengelirukan orang ramai.

“Dengan tiadanya penafian atau kenyataan balas menafikan yang individu yang dinamakan itu isterinya, rakyat boleh membuat kesimpulan bahawa pendedahan saya itu benar. Lagi pun, perkara ini dinyatakan secara bertulis di dalam Laporan Forensik Projek LCS,” kata Rafizi.

Malah Timbalan Presiden PKR itu mendakwa syarikat milik Zainab hanya membekalkan putik kapas telinga dan barang-barang yang boleh dibeli di pasar raya Mydin atau kedai serbaneka 7-Eleven.

“Misi mencari jerung setakat ini. Dari syarikat palsu kita jumpa isteri menteri.
“Dari isteri menteri kita tak jumpa spare parts kapal, kita jumpa putik kapas! Kalau kita perang, letih askar kita nak menembak dengan putik kapas,” kata Rafizi.

Rafizi mendakwa, siasatan dalaman skandal LCS dan semakan susulan dilakukannya mendapati syarikat pembekal itu dimiliki isteri Dr Abd Latiff.

Beliau juga mendakwa siasatan dalam LCS juga mengesahkan dua syarikat palsu menggunakan nama Alizes Marine sudah didaftarkan dengan nama Alizes Marine Limited berdaftar di Malta dan sebuah lagi syarikat, Alizes Marine Labuan didaftarkan di Labuan.-MalaysiaGazette