Tun Dr. Mahathir Mohamad.MOHD ADZLAN, 27 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Gerakan Tanah Air (GTA) didakwa berjaya menarik sokongan orang Melayu yang berwibawa dan bersih demi membentuk semula negara berintegriti.

Pengasasnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga merupakan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, GTA juga berjaya menapis penyertaan pemimpin yang hanya mementingkan wang berbanding rakyat dan negara.

Katanya, tiada tempat untuk pemimpin kotor  serta penyangak dalam gerakannya kerana GTA ikhlas membentuk satu kerajaan yang stabil dan utuh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Sebab itulah GTA semakin hari semakin kuat dan saya percaya orang Melayu akan sedar serta memberi sokongan kepada gerakan ini pada PRU-15. Saya juga telah berjumpa kumpulan Melayu dan mereka sudi beri sokongan padu dan di mana sahaja saya pergi, kami mendapat respon positif dan memberangsangkan untuk GTA.

“Mereka juga kecewa dengan apa yang berlaku dalam negara, pemimpin sedia ada tidak bertanggungjawab dan hanya penting poket sendiri sahaja selain merosakkan perjuangan selamatkan negara yang yang dicetuskan pemimpin terdahulu.

“Sekarang kita perlu ganti orang (pemimpin) ini. Sebab itu kita tubuh GTA iaitu pergerakan perubahan orang Melayu yang sayangkan bangsa dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dan merasmikan Himpunan Nasional Berjasa 2022 bersama Presidennya Zamani Ibrahim di ibu negara hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, penubuhan GTA yang dianggotai parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ahli akademik dan profesional Melayu itu juga bertujuan menjaga negara supaya aman dan stabil dengan mengurangkan jurang antara kaum dari segi sosio ekonomi ketika ini.

Malah beliau juga memberi jaminan agar kaum lain di negara ini tidak perlu takut dan gusar dengan GTA kerana nasib dan kesejahteraan mereka juga akan diutamakan dan diperjuangkan demi kemakmuran bersama dicapai.

“Kaum lain tidak perlu takut walaupun GTA hanya melibatkan orang Melayu sahaja kerana kita melihat hasil kejayaan gerakan ini pada kemudian hari akan memberikan khabar gembira kepada bukan Melayu juga untuk hidup sejahtera di negara ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette