Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Taklimat Khas Presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 27 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengulangi pendirian yang beliau dan Datuk Seri Najib Razak tidak pernah menuntut agar kes mahkamah mereka digugurkan.

Tuntutan sedemikian tidak pernah disuarakan kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti didakwa.

Bahkan jelas Ahmad Zahid, perkara itu tidak pernah dibangkitkan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meskipun beliau daripada UMNO.

Tambah beliau, UMNO sentiasa berpegang kepada keluhuran Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang dan kerana itu beliau tidak membuat tuntutan sedemikian.

“Saya tidak pernah menuntut agar kes saya digugurkan, sama ada kepada Perdana Menteri ke-8, yang bergantung hayat dengan sokongan kita, apatah lagi kepada Perdana Menteri sekarang yang merupakan orang parti kita sendiri.

“Begitu juga dengan Datuk Seri Najib. Saya sendiri menjadi saksi, beliau secara konsisten berpegang kepada pendirian tidak mahu kesnya digugurkan.

“Akan tetapi sebaliknya, beliau mahu membersihkan diri dan dan nama baik keluarganya di mahkamah,” katanya ketika berucap pada Taklimat Khas Presiden di sini hari ini.

Tambah beliau, melihat kepada beberapa siri rampasan barang dan tindakan dikenakan terhadap Najib, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menyifatkan pendakwaan kepada Ahli Parlimen Pekan itu adalah “pendakwaan politik”.

“Apa yang dituntut oleh Datuk Seri Najib hanyalah perbicaraan yang adil (fair trial). Ini yang menyebabkan kita terkilan kerana apa yang beliau pohon adalah ruang dan sedikit masa untuk mengemukakan bukti baharu.

“Apa yang dipohon adalah penangguhan bagi membolehkan barisan peguam barunya membuat persediaan rapi bukan pengguguran kes atau sengaja mahu melengahkan kes.

“Apa yang diminta adalah pertimbangan untuk membenarkan setiap sudut perundangan dimanfaatkan,” ujar Ahmad Zahid lagi. – MalaysiaGazette