Rampasan hidupan liar terancam oleh Jabatan Perhilitan selepas menangkap tiga suspek pemburu haram di Bera Pahang.Ihsan Perhilitan

KUALA LUMPUR – Kegiatan sekumpulan individu yang disyaki  memburu secara haram hidupan liar  terbongkar apabila berjaya dijejaki dan diberkas Ahad lalu.

Ketiga-tiga suspek itu ditangkap di kawasan ladang kelapa sawit sekitar Bera, Pahang.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, ketiga-tiga suspek merupakan lelaki berusia lingkungan 35 hingga 50 tahun berjaya ditahan kira-kira pukul 3.30 petang oleh pihaknya.

“Kita telah melaksanakan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) sebelum hasilnya membawa kepada rampasan spesies burung Bayan Serindit dan bahagian hidupan liar disyaki bangkai ayam hutan dan pelanduk.

“Hidupan liar itu diburu dan disimpan suspek pemburu haram tanpa sebarang dokumen sah daripada Jabatan Perhilitan,” kata beliau hari ini.

Rampasan hidupan liar terancam oleh Jabatan Perhilitan selepas menangkap tiga suspek pemburu haram di Bera Pahang.Ihsan Perhilitan

Tambah beliau, pihaknya turut merampas dua laras senapang angin buatan sendiri yang digunakan ketiga-tiga suspek itu memburu hidupan liar,” katanya.

Abdul Kadir memberitahu kesemua barang dan rampasan hidupan liar telah dibawa ke Pejabat Pengurusan Tapak Ramsar Tasek Bera untuk tindakan selanjutnya.

“Ketiga-tiga suspek berkenaan kini telah direman selama lima hari untuk siasatan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Akta Senjata Api 1960 (Akta 206).

“Perhilitan akan sentiasa memantau kegiatan pemburu haram dan pemasangan jerat haram.

“Perhilitan juga ingin memberi amaran terhadap pemburu haram bahawa Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] telah diluluskan pindaannya yang memperuntukkan hukumanberat untuk kesalahan pemburuan haram amatlah berat dan tiada kompromi jabatan dalam menangani aktiviti ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast