Dr Adham Baba

KOTA TINGGI – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) meminta Akademi Sains Negara melaksanakan kaji selidik bagi mendapatkan data tepat peratusan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang dikatakan tidak mahu menyambung pelajaran.

Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kaji selidik dibuat bagi mengesahkan kenyataan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Julai lepas yang memaklumkan lebih 70 peratus lepasan SPM enggan menyambung pelajaran.

Beliau berkata hasil kaji selidik itu akan dibentang kepada Kerajaan untuk tindakan susulan, kerana seandainya angka itu tepat, ia merupakan satu isu membimbangkan yang boleh merencatkan hasrat Kerajaan menjadikan Malaysia negara berteknologi tinggi menjelang 2030.

“Isu 70 peratus pelajar lepasan SPM tidak berminat melanjutkan pelajaran merupakan  isu yang perlu disahkan. Saya telah arahkan Akademi Sains Malaysia membuat kaji selidik semula, adakah peratusan itu tepat atau tidak?” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Merdeka Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia 2022 di sini hari ini.

“Kerana kalau angka menunjukkan 70 peratus tak minat sambung belajar, ia satu kerugian kepada negara, jadi langkah langkah selanjutnya perlu kita laksanakan supaya perkara ini tak jadi bebanan awal untuk kita lahirkan generasi berteknologi tinggi yang berminat dengan sains dan inovasi,” katanya.

Sementara itu Adham berkata 1.67 juta penyertaan Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia 2022 direkodkan sehingga semalam di seluruh negara, melibatkan sekolah rendah, sekolah menengah, institusi pengajian tinggi dan individu yang sedang membuat penyelidikan.

Jumlah itu melebihi sasaran asal, iaitu 1.5 juta penyertaan sehingga Oktober.

Sejak dilancarkan 1 April lalu, 175 program berkaitan sudah dianjurkan. – BERNAMA