KUALA LUMPUR – Gardenia Bakeries KL Sdn Bhd sekali lagi semula menyemak harga roti keluarannya mulai 1 September ini.

Ia merupakan kenaikan kali kedua dalam tempoh setahun selepas semakan pada 1 Disember tahun lalu.

Menurutnya, semakan itu dibuat mengambil kira kenaikan kos dan bahan-bahan mentah dan kos pengangkutan yang mendadak dalam beberapa tahun kebelakangan ini yang sangat ketara dan syarikat telahpun menyerap kenaikan kos tersebut.

”Kami ingin meyakinkan anda bahawa perubahan semula harga produk-produk kami akan menjadi pilihan terakhir setelah berusaha sedaya upaya melalui pelbagai cara bagi mencapai kecekapan dan produktiviti.

”Melihatkan keadaan tersebut, kami tidak mempunyai pilihan lain selain menyemak semula harga hanya pada produk-produk yang terjejas,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Gardenia, Koh Chin Huat ketika menjawab pertanyaan dalam Facebook syarikat itu.

Dengan semakan itu, harga baharu Gardenia Original Classic 400g akan dinaikkan 20sen kepada RM3, Original Classic Jumbo 600g RM4.30 (naik 30 sen) dan Breakthru Wholewheat 400g RM4 (naik 40 sen).

Sementara roti Bran & WheatGerm berharga RM3.50.

Manakala harga bagi roti krim vanila, gula mentega dan karamel masin dinaikkan 10 sen kepada RM1.10 sen setiap satu.

Siri roti “Toast Em” juga meningkat kepada RM5.50, naik 50 sen.

Roti krim QuickBites naik 10 sen menjadi RM1.10 dan roti sambal bilis meningkat 20 sen menjadi RM1.50.

Namun ada beberapa jenis roti daripada 53 yang disenaraikan dikekalkan harganya. – MalaysiaGazette