chicken ceiling price subsidy
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju penetapan harga siling bagi ayam standard di pasaran dikekalkan pada harga RM9.40 sekilogram.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, persetujuan yang dicapai secara sebulat suara oleh Jemaah Menteri pada 26 Ogos lalu turut menyaksikan harga ayam tidak akan diapungkan di pasaran seperti kegusaran yang ditimbulkan segelintir pihak.

“Perincian lanjut berhubung keputusan untuk meneruskan penetapan harga siling bagi ayam standard di seluruh negara akan diumumkan secara lebih lanjut, pasca mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Khas Jihad Menangani Inflasi, esok,” katanya dalam Twitter rasmi beliau hari ini.

Sebelum ini pada 30 Julai lalu, kerajaan berkemungkinan tidak akan meneruskan perlaksanaan harga siling ayam bulat RM9.40 sekilogram selepas 31 Ogos ini susulan bekalan makanan keperluan itu kembali stabil di seluruh semenanjung negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Azman Mohd Yusof dilaporkan berkata, kini bekalan ayam telah melebihi permintaan pasaran, sekali gus mempengaruhi penurunan harga mencecah RM6.99 sekilogram.

Katanya lagi, kebanyakan penternak juga tidak lagi berdepan dengan masalah pengeluaran disebabkan isu tumbesaran, ayam sakit dan sebagainya. – MalaysiaGazette