Minuman keras antara barangan yang dirampas JKDM Johor baru-baru ini.

JOHOR BAHRU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya merampas minuman keras, rokok, motosikal berkuasa tinggi dan air zamzam palsu bernilai RM3 juta termasuk cukai.

Pengarah JKDM negeri Sazali Mohamad berkata, kesemua rampasan dilakukan menerusi lapan serbuan berasingan di sekitar Johor dan Selangor antara 9 Jun hingga 2 Ogos lepas.

Katanya, lapan individu berusia lingkungan 22 hingga 44 tahun terdiri daripada tiga lelaki warga tempatan, tiga lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki Yaman dan seorang wanita Vietnam ditahan bagi membantu siasatan.

“JKDM Johor berjaya menggagalkan cubaan menyeludup minuman keras pelbagai jenama bernilai RM2.87 juta menerusi enam serbuan berasingan termasuk di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah; Pelabuhan Johor, Pasir Gudang; Kawasan Perindustrian Air Hitam, Klang dan Shah Alam antara 9 Jun hingga 2 Ogos lepas.

“Antara modus operandi digunakan bagi mengaburi pihak penguat kuasa ialah menyimpan arak di bahagian tengah kontena yang dicampur dengan pelbagai barangan lain dan membuat pengikraran barangan yang mengelirukan,” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Johor di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi berkenaan turut menemukan 33,600 bungkusan rokok putih seludup yang dianggarkan bernilai RM22,600 berserta cukai.

Sementara itu, Sazali berkata, pihaknya juga merampas tujuh motosikal berkuasa tinggi pelbagai jenama dan satu motosikal mini dalam satu serbuan yang dijalankan di sebuah rumah di Taman Perling, di sini, pada 25 Julai lepas.

Menurutnya, kesemua motosikal yang dianggarkan bernilai RM876,000 termasuk duti itu diseludup masuk dari negara jiran melalui laluan darat.

Katanya, JKDM Johor turut menyerbu sebuah kilang haram memproses air zamzam palsu di Taman Ekoperniagaan 2, Senai Airport City, pada 15 Jun lepas melibatkan rampasan berjumlah RM11,700.

Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967. – BERNAMA