Awang Azman Awang Pawi

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlu disegerakan sekiranya UMNO-Barisan Nasional (BN) tidak mahu memberi peluang kepada musuh-musuh politiknya  untuk membangkitkan sentimen keraguan terhadap parti berkenaan.

Ini kerana, Pakatan Harapan (PH) akan menggunakan peluang dan masa yang ada untuk membangkitkan pelbagai isu yang belum tentu kesahihannya demi menimbulkan kebencian dan keraguan rakyat terhadap parti itu.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, taktik sebegini dan isu-isu yang bakal ditimbulkan sudah tentu mencalarkan imej UMNO-BN.

“Saya lihat PH akan lebih dapat kelebihan jika PRU dilengah-lengahkan. Ia akan memberi lebih ruang kepada PH untuk menerokai banyak sentimen,” katanya.

Beliau berkata, UMNO-Barisan Nasional (BN)  kehilangan ‘sayap’ apabila Datuk Seri Najib Razak dipenjarakan kerana Pengerusi Lembaga Penasihat BN itu tidak lagi dapat menjadi penangkis terhadap isu-isu yang dilemparkan musuh-musuh komponen parti itu.

“Kita kena terima hakikat Najib sangat berpengaruh dalam konteks media sosial, beliau mempunyai pengikut 4.6 juta dan menjadi ‘sang pencerah’, penangkis, melawan dan menyerang pihak pembangkang selain mempertahankan partinya.

“Apabila beliau tiada (dipenjarakan), ini bermakna salah satu sayap UMNO telah patah dan memberikan kesan kepada UMNO, juga kegembiraan kepada PH sebab mereka tidak lagi berdepan cabaran sukar untuk menyerang UMNO, mengkritik atau membawa pelbagai isu untuk menyerang UMNO.

Untuk rekod, Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas Mahkamah Persekutuan mendapati bekas Perdana Menteri berkenaan bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. – MalaysiaGazette