KUALA LUMPUR – Perdana Menteri akan mengambil kira pelbagai aspek untuk dipertimbangkan sebelum membuat keputusan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Aspek itu termasuk mengambil peduli kestabilan negara dan usaha pemulihan ekonomi negara bagi meringankan beban rakyat, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

“Dalam apa keadaan pun, bila kita hendak buat sesuatu keputusan, perlu mengambil kira pelbagai aspek. ‘Begitu juga dalam soal PRU15 ini.

“Saya fikir Perdana Menteri sudah tentu akan mengambil kira pelbagai faktor atau aspek tertentu sebelum membuat keputusan untuk umumkan tarikh pilihan raya,” katanya yang mengulas pertanyaan media mengenai pembubaran Parlimen yang masih menjadi teka-teki.

Mahdzir berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Anggota Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Negeri Sembilan di Pusat Konvensyen Casa Lagenda, Paroi, hari ini.

Beliau yakin, Ismail Sabri juga perlu meneliti keadaan semasa negara sebelum membuat keputusan berhubung tarikh PRU15.

“Tentunya keputusan itu akan dibuat apabila tiba waktu yang sesuai,” ujar beliau lagi.

Media semalam melaporkan Ismail Sabri enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai spekulasi tarikh PRU15 yang didakwa diawalkan susulan perbincangan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Sabtu lalu. – MalaysiaGazette