Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC), Datuk Justin Lim menafikan beberapa dakwaan kononnya meletak jawatan daripada kelab berkenaan.

MELAKA – Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC), Datuk Justin Lim menafikan dakwaan bahawa beliau telah meletak jawatan.

Jelasnya, walaupun mengakui timbul sedikit kekecewaan berhubung pegangan saham kelab, ia tidak berlarutan sehingga menyebabkan beliau melepaskan jawatan.

“Berhubung khabar angin yang menyatakan saya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelab Bolasepak Melaka United, ingin saya nyatakan di sini bahawa ia adalah tidak benar.

“Tidak dinafikan, pada mulanya saya benar-benar kecewa apabila wujudnya isu berkaitan dengan pegangan saham kelab ini.

“Namun selepas perbincangan bersama pihak berkepentingan, kami telah mencapai kata sepakat dan kini sedang dalam proses penyelesaian bersama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Justin berkata, beliau akan terus kekal komited menerajui kelab yang diambil alih tahun lalu sehingga melakar pencapaian yang membanggakan.

“Saya percaya pasukan tahun ini lebih baik dan mampu mencipta lebih banyak kejayaan dengan kerjasama semua pihak berkepentingan.

“Saya merupakan ahli perniagaan yang masih baru dalam industri bola sepak jadi sudah pastinya saya tidak terlepas untuk menghadapi pelbagai cabaran dan ini merupakan ‘learning curve’ untuk saya membawa kelab ini ke tahap lebih baik dari sebelum ini,” jelasnya.

Tambahnya, beliau sentiasa beriltizam untuk menyelesaikan semua masalah dan tidak pernah sesekali melepaskan tanggungjawab yang diamanahkan.

MUFC, katanya, menghargai sokongan dan kesabaran para peminat, penaja, kerajaan negeri, Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) dan semua pihak berkepentingan.

“Ini adalah pemangkin semangat kepada kami untuk kita terus bergerak ke hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette