KUALA LUMPUR – Inflasi Malaysia meningkat 4.4 peratus kepada 127.9 pada Julai 2022 berbanding 122.5 pada bulan yang sama pada tahun sebelumnya, kata Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.
Beliau berkata, Indeks Makanan yang meningkat 6.9 peratus kekal menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi pada bulan itu.
“Peningkatan inflasi Malaysia pada bulan itu turut disebabkan oleh kesan asas yang lebih rendah pada tahun lalu berikutan pemberian diskaun bil elektrik dari lima hingga 40 peratus mengikut jumlah penggunaan kepada pengguna domestik di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada Julai hingga September 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, terdapat item makanan yang menunjukkan momentum peningkatan yang lebih perlahan berbanding Jun 2022. Antaranya ialah subkumpulan Ikan dan Makanan Laut (4.2 peratus) dan Sayur-sayuran (7.1 peratus).
Selain daripada kumpulan Makanan, Mohd Uzir berkata, kesemua kumpulan lain juga terus merekodkan peningkatan kecuali Komunikasi yang kekal tidak berubah berbanding pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Restoran dan Hotel meningkat 5.8 peratus diikuti Pengangkutan (5.6 peratus); Hiasan, Perkakasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah (4.0 peratus) serta Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain (3.8 peratus).
Inflasi bagi tempoh Januari hingga Julai 2022 meningkat 2.8 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Bagi perbandingan bulanan, inflasi meningkat 0.4 peratus berbanding Jun 2022.
Peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh Restoran dan Hotel (0.8 peratus) serta Makanan dan Minuman Bukan Alkohol (0.7 peratus). Ini diikuti Hiasan, Perkakasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah (0.6 peratus) dan Pengangkutan (0.5 peratus).
Inflasi teras dan inflasi tanpa bahan api, masing-masing mencatatkan peningkatan 3.4 peratus dan 4.2 peratus pada Julai 2022 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.
Kesemua negeri menunjukkan peningkatan dalam inflasi dengan tiga negeri meningkat melepasi paras inflasi nasional 4.4 peratus. – BERNAMA