Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed bercakap pada sidang media mengenai kejayaan pihak polis dalam menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis methamphetamine yang dianggarkan berat keseluruhan 363.03 kilogram bernilai lebih kurang RM10.89 juta ketika Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 29 OGOS 2022.

SHAH ALAM – Polis Selangor telah menyerahkan kertas siasatan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut ke atas seorang penceramah bebas yang disyaki merogol remaja perempuan berusia 14 tahun di negeri ini.

Ketua Polis negeri, Komisioner Polis, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya kini menunggu arahan daripada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

“Kita dah hantar kertas siasatan ke pendakwa raya dan kita tunggu tindakan lanjut. Tunggu arah dari pendakwa raya dulu (untuk tindakan seterusnya),” kata beliau ringkas pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor, di sini, hari ini.

Julai lalu, penceramah itu diserahkan kepada Polis Kuala Lumpur untuk siasatan berhubung kejadian rogol yang dilaporkan berlaku di ibu negara.

Penceramah itu menghadapi empat pertuduhan iaitu dua di Selangor dan masing-masing satu di Kuala Lumpur serta Perak.

Sementara itu, kata Arjunaidi, polis juga masih menyiasat kes seorang lelaki tempatan yang ditemukan mati di tepi jalan di Taman Sri Gadong, dekat Klang dipercayai ditembak serta ditetak sekumpulan tiga lelaki.

Menurut beliau, barang kes seperti kelongsong peluru sudah dihantar ke Unit Forensik untuk pengesahan dan lain-lain tindakan.

Dalam kejadian 21 Ogos lalu, Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerima panggilan daripada lelaki warga tempatan memaklumkan terdengar bunyi tembakan dan melihat seorang lelaki terbaring di tepi jalan.

Susulan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan mendapati mangsa adalah lelaki warga tempatan berusia 41 tahun berada dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah. – MalaysiaGazette