Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah menerima pembentangan dan laporan daripada Pasukan Petugas Khas siasatan ke atas dakwaan dalam buku “My Story: Justice in the Wilderness”.

Laporan siasatan buku tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang dipengerusikan Datuk Seri Fong Joo Chung itu mengambil masa kira-kira sembilan bulan bermula Disember 2021 hingga Ogos 2022 untuk disediakan.

Menurut Dr. Wan Junaidi, pembentangan dan laporan itu diserahkan dalam mesyuarat yang turut dihadiri pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO).

Kata beliau, satu laporan interim telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Pemantauan pada 18 April lalu.

“Laporan akhir ini disediakan melalui hasil penelitian dokumen dan sesi konsultasi dengan pihak-pihak berkaitan.

“Dalam hal ini, sebanyak 19 sesi konsultasi dengan pelbagai pihak berkepentingan yang melibatkan agensi kerajaan, bukan kerajaan dan individu.

“Antara lain Pasukan Petugas Khas ini telah mengenal pasti 19 isu penting dari buku tersebut yang memerlukan perhatian lanjut kerajaan,” katanya dalam kenyataan kepada media, di Kuching, hari ini.

Jelas beliau, urusan seterusnya, laporan akhir itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat bagi mendapatkan arahan dan mandat berhubung tindakan susulan yang perlu dilaksanakan. – MalaysiaGazette