Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah (dua kiri) menerima cenderamata daripada Naib Pengerusi Ajlan & Bros Holding Group, Sheikh Mohammed Al Ajlan pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Ajlan & Bros dengan Syarikat-Syarikat Malaysia di The Ritz Carlton Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 29 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Konglomerat Arab Saudi, Ajlan Bros Holding Group (Ajlan & Bros) akan melabur hampir RM34 bilion dengan sembilan syarikat Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaburan itu membabitkan kerjasama dalam bidang semi-konduktor, perdagangan sosial, teknologi perubatan, industri pertahanan dan hiburan.

“Ada sembilan syarikat yang tandatangan MoU bersama syarikat Ajlan Bros Holding Group dari Arab Saudi hampir RM34 bilion dalam pelbagai sektor,” katanya ketika menyaksikan penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) di sini, hari ini.

Sembilan syarikat tersebut adalah Dagang NeXchange Bhd (DNeX), Aerodyne Systems Sdn Bhd, National Aerospace & Defence Industries Sdn Bhd (NADI) dan Twistcode Technologies Sdn Bhd.

Turut serta syarikat CyberSecurity Malaysia, Malaysia Genomics Resources Centre Bhd, Meta Universe Sdn Bhd, Light Up 7 Sdn Bhd dan My Events Sdn Bhd.

Majlis itu dihadiri oleh Timbalan Pengerusinya, Mohammed Abdulaziz Al Ajlan.

Sebagai rekod, Ajlan & Bros ialah konglomerat hartanah terkemuka di Arab Saudi yang berpengalaman dalam sektor perindustrian, kediaman, komersial dan pergudangan.

Syarikat yang berpangkalan di Riyadh itu mempunyai rekod pelaburan besar melibatkan lebih 25 negara dengan aset bernilai lebih RM67.3 blion serta pendapat mencecah RM8.98 bilion. – MalaysiaGazette