Anak bekas Perdana Menteri, Nooryana Najwa Mohd Najib menunjukkan tali leher milik bapanya semasa berucap pada Taklimat Khas Presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 27 OGOS 2022.

NOORYANA Najwa Najib tidak pernah dikenali sebagai ahli politik. Walaupun bapanya Datuk Seri Najib Tun Razak pernah menjadi Presiden UMNO iaitu parti terbesar orang Melayu dan Perdana Menteri yang mentadbir negara hampir 10 tahun tetapi Nooryana Najwa sentiasa ‘bersembunyi’ di belakang bapanya.

Bagaimanapun hukuman penjara terhadap Najib sejak Selasa minggu lalu seolah-olah mengheret wanita itu untuk muncul di pentas politik.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama anaknya, Nooryana Najwa Najib ketika hadir ke Mahkamah Persekutuan pada prosiding kes rayuan akhirnya berkaitan sabitan dan hukuman penjara penyewelengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 18 OGOS 2022.

Dia tampil untuk menjadi ‘suara’ bapanya. Membawa pesanan kepada rakyat, kepada penyokong UMNO dan Barisan Nasional dan kepada mereka yang bersimpati dengan Najib.

Kemunculan Nooryana Najwa mengingatkan rakyat Malaysia kepada seseorang. Lebih 20 tahun lalu seorang gadis, Nurul Izzah muncul di pentas politik selepas bapanya Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan semasa pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ketika itu bapanya merupakan Timbalan Perdana Menteri dan orang nombor dua di Malaysia.

Episod-episod memalukan yang dilalui Anwar melalui tuduhan meliwat dengan drama-drama di mahkamah yang masih diingati termasuk tilam yang menjadi bahan bukti telah melahirkan Puteri Reformasi Nurul Izzah.

Pengalaman yang dialami oleh bapanya termasuk mata lebam ditumbuk ketika di dalam penjara telah menukar Nurul Izzah daripada seorang gadis yang lemah lembut menjadi tegas, untuk membela maruah bapanya yang beliau rasakan diinjak-injak ketika itu.

Nurul Izzah muncul di pentas-pentas politik. Kemunculan awal yang kekok dengan ucapan yang masih tidak matang dahulu kini bertukar menjadi seorang ahli politik yang sentiasa diperhatikan oleh kawan dan musuh.

Temubual eksklusif bersama Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar di Bangunan Yayasan Aman, Peranti, Pulau Pinang. Foto AFFAN FAUZI, 02 APRIL 2022.

Pada Sabtu lalu Nooryana Najwa, anak keempat Najib muncul di dewan keramat parti terbesar orang Melayu di Dewan Merdeka.

Itu kali pertama dia berdiri di atas pentas politik untuk menyampaikan ucapan. Beribu-ribu pasang mata yang simpati terhadap apa yang berlaku terhadap bapanya memandang tepat ke arah Nooryana Najwa.

Dewan menjadi sunyi. Nooryana Najwa kemudian menyampaikan ucapan. Seperti Nurul Izzah yang kali pertama muncul dahulu, Nooryana Najwa juga sama. Jelas kedua-dua mereka bukan pemidato yang bagus ketika kali pertama muncul.

Bidang komunikasi adalah satu seni. Sama juga dengan pengucapan awam. Penggunaan intonasi suara tinggi dan rendah boleh memberi perasaan fokus kepada audien. Itu masih belum ada pada Nooryana sama sepeti ketika mula-mula Nurul Izzah muncul di atas pentas.

Pun begitu, kemunculan Nooryana Najwa dilihat boleh menjadi suara kepada Najib, seperti Nurul Izzah menjadi suara kepada Anwar.

Nooryana Najwa telah berjaya memulakan langkah pertamanya untuk menarik simpati rakyat kepada bapanya. Kisah tali leher yang diambil daripada Najib sebelum bekas Perdana Menteri itu dihukum penjara selama 12 tahun meruntun jiwa yang mendengar.

Sama seperti cerita Nurul Izzah bagaimana pintu rumahnya ditendang sehingga roboh untuk mengangkap bapanya ketika adik-adiknya masih lagi kecil.

“Selasa, 23 Ogos adalah hari yang paling sukar untuk kami dan memori terakhir bersama daddy (bapa) ketika dikelilingi pegawai polis hanyalah sehelai tie. Daddy sempat berbisik tolong simpan tie ini kerana tie ini kegemaran daddy.

“Sejak kecil, saya sentiasa menantikan daddy ikat tie dengan sempurna tanpa perlu melihat cermin.

“Saya pernah tanya kenapa daddy tak kerja biasa seperti orang lain dan daddy menjawab, kalau kerja biasa seperti orang lain hanya boleh bantu beberapa orang saja tapi sebagai ahli politik, daddy boleh bantu dan mengubah kehidupan jutaan rakyat Malaysia,” katanya.

Dia juga hampir menangis ketika berucap mengenang kisah indah bersama bapanya yang terpaksa berkorban masa bersama keluarga semasa menjadi pemimpin untuk berkhidmat kepada rakyat.

Apa yang menjadikan Nooryana Najwa sebagai suara bapanya adalah ketika dia membacakan warkah yang ditulis dengan tangan oleh Najib di dalam penjara.

Anak bekas Perdana Menteri, Nooryana Najwa Mohd Najib berucap dengan membaca surat yang ditulis bapanya pada Taklimat Khas Presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 27 OGOS 2022.

Setiap butir perkataan yang dibaca Nuryana Najwa di atas pentas, seolah-olah Najiblah yang mengungkapkan di dalam Dewan Merdeka. Dewan yang menyaksikan bapanya menyampaikan ucapan selama berpuluh tahun di dewan itu ketika memimpin UMNO.

“Bila saya dihempap dan ditekan dengan orang yang begitu yakin dan licik saya tiada pilihan melainkan memohon kepada Presiden UMNO dan semua ahli UMNO untuk bersuara dan bertindak.

“Kalau perkara ini boleh berlaku kepada saya sebagai bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri ia boleh berlaku kepada sesiapa pun.

“Memilih untuk berdiam diri bererti mereka yang berniat jahat kepada UMNO akan berjaya. Pada saya UMNO perlu berjuang menentang kezaliman dan ketidakadilan. Menitis air mata tak ubah keadaan hanya tindakan berani, terelaras dan bijak boleh membawa kejayaan,” kata Najib dalam surat yang dibacakan oleh Nooryana Najwa.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir bersama anaknya, Nooryana Najwa Najib (dua kanan) bagi menghadiri perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum mendengar keputusan kes SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 NOVEMBER 2019.

Ketika surat itu dibaca beribu yang hadir dalam Amanat Presiden UMNO itu senyap sunyi mendengar ungkapan Nooryana Najwa.

Bolehkah wanita yang mempunyai ijazah Bachelor of Science in Foreign Service dari Universiti Georgetown terus menjadi suara Najib sehingga bapanya keluar dari penjara.

Adakah dia akan mengikuti jejak langkah Nurul Izzah untuk menjadi seorang ahli politik memperjuangkan hak rakyat selepas bapanya dipenjara bertahun-tahun lamanya?

Adakah sebuah lagi keluarga akan muncul di pentas politik selepas bapa masing-masing dipenjarakan? – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast