Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 29 OGOS 2022.

PUTRAJAYA –  Pelbagai perkara perlu dipertimbangkan secara terperinci sebelum membuat keputusan untuk tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia tidak boleh sewenang-wenangnya mengikuti jejak langkah Singapura kerana situasi kedua-dua negara berbeza.

“Saya sendiri bangkitkan tadi, saya sebutkan kalau semua dah ok, kenapa nak pakai pelitup muka lagi. Tapi dia (KKM) kata mungkin perkara itu akan dilihat dengan lebih terperinci.

“Bukan kerana Singapura buat, kita kena buat kerana Malaysia, situasinya mungkin tak hampir sama. Jadi apa pun, sekarang ini saya fikir sudah ada kebiasaan baharu untuk penduduk di negara kita, baik warga asing ke, tempatan ke untuk memakai pelitup muka tanpa dipaksa dan sebagainya.

“Kalau itu dah jadi kebiasaan, mungkin ada baik juga, kementerian kata kita dah tak perlu lagi pakai tapi kalau nak pakai kerana nak rasa lebih selamat, boleh pakai. Katalah  dinasihat begitu.

”Tapi ini bukan di bidang MPN tapi kita berikan pandangan dan saya serahkan kepada KKM untuk mempertimbangkan perkara itu,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN di sini.

Pada sidang media itu, Muhyiddin turut merakam tahniah kerana KKM yang telah melaksanakan langkah-langkah pencegahan jangkitan Covid-19 sejak 2020 sehingga sekarang hingga keadaan semakin baik.

Bermula hari ini penduduk Singapura tidak lagi diwajibkan untuk memakai pelitup muka di dalam bangunan.

Namun, pemakaian pelitup ketika menaiki pengangkutan awam dan di tempat berisiko tinggi seperti kemudahan kesihatan masih lagi diwajibkan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast