nasrudin hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas menegaskan pendirian menolak sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, Pas mempunyai pengalaman duduk bersama mereka sama ada melalui penglibatan, pakatan pilihan raya atau tahaluf siyasi.

“Pengalaman itu (termasuk 22 bulan berada di bawah pemerintahan PH) sudah cukup untuk Pas membuat keputusan muktamad dan mematikan selera berkongsi impian bersama PH mahupun projek khemah besar mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa pemimpin-pemimpin PH membuka semula pintu rundingan dengan pihaknya bagi menentang BN pada PRU-15.

Nasrudin mengingatkan, pada 18 April lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang telah menegaskan partinya tidak akan bekerjasama dengan PH untuk menghadapi PRU-15.

Menurut beliau, agenda perpaduan ummah tentu sahaja tidak melibatkan parti yang tegar menentang Islam dan mempunyai agenda yang jelas untuk menghalang Islam berkembang dan tegak di negara ini.

“Sebaliknya agenda perpaduan ummah adalah usaha untuk melunak dan menyatukan parti-parti umat Islam serta parti-parti lain yang tidak ekstrem.

“Meskipun Pas mahu mencapai kemenangan dan berkuasa, namun sekali-kali Pas tidak akan mempertaruhkan kepentingan Islam yang diperjuangkan selama ini semata-mata kerana kuasa,” tegasnya. – MalaysiaGazette