Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berucap pada Persidangan Antarabangsa Tenaga Lestari Kali Ke-5 (SES) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 29 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Ketetapan dasar serta inisiatif pembangunan tenaga lestari dijangka dapat mengurangkan 45 peratus intensiti pelepasan Gas Rumah Kaca (GHG) sektor bekalan elektrik.

Malah, ia turut menghasilkan limpahan ekonomi melalui penjanaan pelaburan sehingga RM33 bilion dan mewujudkan sebanyak 47,000 peluang pekerjaan langsung, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Menurutnya, komitmen itu memerlukan gandingan usaha semua pemegang taruh dalam bidang tenaga lestari.

“Oleh itu, saya berharap agar persidangan ISES kali ini akan membuka wadah perbincangan serta mewujudkan jalinan hubungan baharu bagi menyokong usaha untuk memperkasakan agenda peralihan tenaga di negara kita.

“Saya yakin bahawa melalui sesi-sesi perbincangan yang merangkumi aspek penerokaan teknologi, pengolahan model perniagaan dan kewangan, perbincangan pelaksanaan dasar serta perkongsian maklumat merupakan amalan terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) kelima 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Persidangan itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam pada itu Takiyuddin berkata, untuk merealisasikan aspirasi negara terhadap neutral karbon menjelang 2050 sebagaimana dihasratkan Perdana Menteri, beberapa komitmen dasar pelaksanaan agenda peralihan tenaga negara telah dilaksanakan.

Antaranya kata beliau, melaksanakan langkah mitigasi aktif dengan meningkatkan kapasiti TBB dalam pembekalan eletrik negara kepada 31 peratus menjelang 2025 dan 40 peratus pada 2035 berdasarkan Pelan Hala Tuju Tenaga Baharu Malaysia (MyRER).

Turut dilakukan kata beliau, membangunkan program dan inisiatif khas bagi memperbanyakkan penyertaan industri tempatan dalam penjanaan dan pembelian bekalan elektrik hijau melalui program seperti Feed in Tariff, Net Energy Metering, Green Electricity Tariff dan New Enhanced Despatched Arrangement (NEDA).

“Kita turut menurunkan intensiti pelepasan GHG daripada penjanaan elektrik dengan mengurangkan penjanaan daripada sumber arang batu secara berperingkat dan tiada loji kana kuasa arang batu baharu akan dibina pada pada akan datang.

“Meningkatkan keanjalan sistem grid secara berperingkat melalui integrasi pendigitalan dan pembangunan sistem penstoran tenaga bagi membolehkan kemasukan kapasiti TBB yag lebih tinggi melalui penjanaan teragih,” ujarnya.

Katanya, turut dilakukan adalah dengan menggubal Rang Undang-undang Kecekapan dan konservasi tenaga untuk mengawal selia penggunaan tenaga berintensiti tinggi dalam sektor komersial dan industri sekaligus mengurangkan pelepasan GHG,” tambahnya. – MalaysiaGazette