Apli Yusoff, Pengerusi PTPTN dan Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada salah seorang penduduk kampung sebagai tanda keprihatinan PTPTN.

KUALA LUMPUR – Bagi menyemarakkan semangat cintakan negara dan menghayati erti kemerdekaan, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan Program Semarak Kemerdekaan Keluarga Malaysia Bersama PTPTN Tahun 2022.

Program ini merupakan salah satu program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PTPTN melibatkan Skuad PTPTN Prihatin seluruh negara yang akan berlangsung mulai Ogos 2022 hingga September 2022.

Melalui program ini, PTPTN berkongsi rezeki dengan memberikan sumbangan bakul makanan yang mengandungi barangan keperluan harian kepada golongan yang memerlukan. PTPTN telah memperuntukan sebanyak RM60,800.00 bagi membantu 760 keluarga asnaf di 12 buah negeri seluruh Semenanjung Malaysia.

Agihan sumbangan dimulakan di negeri Terengganu melibatkan penerima seramai 100 keluarga asnaf.

Serahan sumbangan ini dibuat dari rumah ke rumah oleh konvoi bermotosikal Skuad PTPTN Prihatin bersama Majlis Belia Daerah Kuala Nerus yang turut disertai oleh pemimpin setempat.

Bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan, konvoi akan turut membawa bersama bendera Malaysia untuk diedarkan kepada penduduk setempat.

Program Semarak Kemerdekaan Keluarga Malaysia Bersama PTPTN Tahun 2022 telah diadakan di Kuala
Nerus, Terengganu bagi menyemarakkan semangat cintakan negara dan menghayati erti kemerdekaan

Seterusnya, Skuad PTPTN Prihatin akan mula bergerak untuk mengagihkan sumbangan bakul makanan tersebut kepada penerima-penerima di negeri-negeri lain.

Program Semarak Kemerdekaan Keluarga Malaysia Bersama PTPTN Tahun 2022 di negeri Terengganu telah disempurnakan oleh Pengerusi PTPTN Apli Yusoff.

Apli Yusoff berkata, program ini merupakan program yang julung kali diadakan selain daripada Program Bayi Merdeka yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

Bersempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan tahun 2022, PTPTN telah membuat kelainan dengan mengadakan Program Semarak Kemerdekaan Keluarga Malaysia dengan aktiviti konvoi bermotosikal memberi sumbangan bakul makanan kepada penduduk setempat yang terpilih.

Semoga dengan pemberian sumbangan ini, sedikit sebanyak dapat mengukir senyuman di wajah keluarga asnaf yang memerlukan serta secara tidak langsung mewujudkan hubungan baik antara PTPTN dengan pemimpin dan masyarakat setempat bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan 2022 iaitu “Keluarga Malaysia Teguh Bersama”, ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast