Antara barang jenayah dan rampasan wang tunai yang disamun dari sebuah stesen minyak di Pandan Jaya oleh suspek semalam.Ihsan Polis Ampang

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan kerana disyaki menyamun sebuah stesen minyak di Pandan Jaya, Ampang, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian jam 2 petang itu, juruwang stesen minyak itu telah didatangi lelaki yang memakai topi serta pelitup muka.

“Suspek meluru masuk ke arah kaunter sebelum secara tiba-tiba menyembur pemedih mata ke arah mangsa yang berada di kaunter membayar wang dan mengambil beberapa kotak rokok yang diletakkan di kaunter tersebut.

“Suspek juga mengarahkan mangsa membuka peti wang kaunter sambil mengacukan sebatang pen ke arahnya dengan mengugut akan mencederakan juruwang itu.

“Mangsa yang mengalami ketakutan kemudian bertindak menurut arahan suspek yang mengambil wang tunai kira-kira RM600 sebelum berjaya meloloskan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, mangsa memberitahu suspek pernah datang untuk meminta pekerjaan di stesen minyak terbabit sebelum ini.

Menurut Mohamad Farouk, polis berjaya menahan suspek yang berusia 27 tahun di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada malam tadi.

“Berdasarkan pandu arah yang ditunjukkan oleh suspek, kami berjaya membuat serbuan di sebuah kediaman yang terletak di Taman Bakti di sini.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan lanjut berjaya membawa pasukan polis kepada rampasan pakaian serta penyembur pemedih mata digunakan suspek dalam jenayah tersebut,” katanya.

Mohamad Farouk berkata, siasatan mendapati dua hari sebelum kejadian itu, suspek memohon kerja di stesen minyak yang disamun itu.

Ujar beliau, semakan mendedahkan suspek mempunyai sembilan rekod jenayah dan dadah termasuk dua kes samun bersenjata.

“Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap suspek didapati positif dadah jenis ganja dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan atas kesalahan rompakan,” kata Mohamad Farouk. – MalaysiaGazette