Lelaki warga Myanmar giat aktif terlibat jenayah mencuri kenderaan model lama di sekitar Ampang berjaya tersungkur di tangan polis semalam. Ihsan Foto: IPD Ampang

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Myanmar ditangkap polis di Pandan Perdana, Ampang, dekat sini, kerana disyaki mencuri kenderaan.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa yang meletakkan kereta Proton Iswara miliknya di tepi Jalan Perdana 8/3, Pandan Perdana pada jam 6.30 petang Sabtu mendapatinya hilang pada jam 9 pagi keesokan hari.

“Pengadu telah mencari di merata tempat sekitar kawasan tersebut namun tidak jumpa keretanya disyaki telah dicuri penjenayah,” kata beliau dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, bertindak atas aduan mangsa, sepasukan polis Ampang Jaya telah menangkap suspek yang berumur 24 tahun di tempat letak kereta di Taman Seri Taming, Kajang, Selangor.

Menurut Mohamad Farouk, pemeriksaan ke atas mangsa membawa kepada kereta yang dilaporkan hilang dan beberapa kunci kenderaan.

Katanya, semua barang rampasan dan juga suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bagi membantu siasatan.

“Semakan lanjut polis mendapati, suspek memiliki empat rekod lampau jenayah dan narkotik manakala ujian air kencing didapati positif dadah jenis Methamphetamin.

“Modus operandi suspek adalah bergerak secara solo dan mensasarkan motokar model lama diparkir di kawasan sunyi sebelum melarikannya,” ujarnya.

Mohamad Farouk berkata, suspek telah dibawa ke Mahkamah Ampang dan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan yang mana seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara minimum selama setahun dan tidak lebih tujuh tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette