Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Seramai 1,347 pegawai perubatan telah berjaya dipilih dan ditawarkan mengikuti Program Pengajian Kepakaran Sarjana Perubatan, Sarjana Pergigian dan Program Parallel Pathway bagi Sesi Akademik Tahun 2022/2023.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan yang dikeluarkan hari ini menyaksikan seramai 216 pegawai lantikan kontrak telah ditawarkan mengikuti Program Pengajian Kepakaran menerusi PLK dengan Biasiswa KKM.

Tawaran ini adalah yang pertama kali diberikan kepada pegawai lantikan kontrak sejak skim lantikan kontrak diwujudkan pada tahun 2016.

Menurutnya, tawaran program pengajian kepakaran dengan tajaan menerusi PLK ini juga adalah selaras dengan keputusan Jemaah Menteri untuk mewujudkan laluan kerjaya yang setara antara pegawai lantikan tetap dan pegawai lantikan kontrak.

”Secara keseluruhanya, seramai 1,232 pegawai telah ditawarkan ke Program Pengajian Kepakaran Sarjana Perubatan, seramai 54 pegawai ditawarkan Sarjana Pergigian, manakala 61 pegawai lagi ditawarkan ke Program Parallel Pathway,” katanya dalam kenyataan di sini.

Iklan permohonan bagi mengikuti mengikuti Program Pengajian Kepakaran Sarjana Perubatan, Sarjana Pergigian dan Parallel Pathway
dikeluarkan pada 28 Januari 2022 dan proses pemilihan calon telah bermula selepas tarikh tutup permohonan pada 10 Mac 2022.

Tambah beliau, selaras dengan pengumuman keputusan pada hari ini, pegawai yang terlibat boleh menyemak menerusi laman sesawang sistem eHLP di alamat http://ehlp.moh.gov.my berhubung status permohonan tawaran CBBP dengan HLP dan PLK dengan Biasiswa KKM bagi pegawai yang berjaya mengikuti Program Pengajian Kepakaran.

Dalam pada itu, Khairy turut mengumumkan permohonan CBBP dengan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) dan Program Latihan Kepakaran (PLK) dengan Biasiswa KKM untuk mengikuti Program Pengajian Kepakaran Sarjana Perubatan, Sarjana Pergigian dan Parallel Pathway bagi Sesi Akademik 2023/2024 akan mula dibuka pada Oktober 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast