KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 3.75 sen seunit bagi Amanah Saham Malaysia 2-Wawasan (ASM 2 Wawasan) bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2022.

Agihan itu melibatkan pembayaran berjumlah RM882.49 juta kepada 906,645 pemegang unit itu.

Setakat 25 Ogos 2022, dana tersebut merekodkan jumlah pendapatan kasar sebanyak RM1.05 bilion dan pendapatan bersih direalisasi sebanyak RM725.10 juta.

Pendapatan untuk ASM 2 Wawasan diperoleh daripada keuntungan yang direalisasi, dividen serta lain-lain pendapatan daripada pelaburan domestik dan antarabangsa.

Hasil pendapatan daripada ekuiti kekal sebagai penyumbang utama dengan pelaburan antarabangsa dan domestik masing-masing menyumbang 37.3% dan 36.0% kepada pendapatan kasar dana.

Dana tersebut juga telah mendapat manfaat daripada kepelbagaian portfolio yang telah membuahkan hasil positif, dengan peruntukan kepada pelaburan antarabangsa meningkat sehingga 17.8% berbanding 14.9% pada tahun 2020.

Permodalan Nasional Berhad berkata, pengagihan pendapatan sebanyak 3.75 sen seunit berada pada 177 mata asas mengatasi
penanda aras pulangan Deposit Tetap 12 Bulan Maybank iaitu sebanyak 1.98% bagi tempoh yang sama.

Pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASM 2 Wawasan adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi dana tersebut.

Pengagihan yang diisytiharkan oleh ASM 2 Wawasan akan dilaburkan semula secara automatik sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 September 2022.

Urus niaga ASM 2 Wawasan di semua cawangan dan ejen ASNB termasuk semua platfom digital dan perbankan internet telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 25 hingga 31 Ogos 2022.

Pemegang unit boleh melakukan semula urus niaga di portal myASNB (www.myasnb.com.my), atau melalui aplikasi mudah alih myASNB atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara bermula 1 September 2022. – MalaysiaGazette