Home Nasional Bendera P.Pinang sebelum Merdeka gamit nostalgia

Bendera P.Pinang sebelum Merdeka gamit nostalgia

GEORGE TOWN –  Bendera Pulau Pinang sebelum negara mencapai kemerdekaan, bendera Malaysia sebelum 1963 dan koleksi cenderahati baju edisi pertama Merdeka.

Itu antara barangan nostalgia membabitkan kemerdekaan yang dikumpul bekas pensyarah sebuah kolej swasta di negeri ini, J. Prakash, 44, sejak dia berusia belasan tahun.

Prakash.

Menurut anak kelahiran Parit Buntar, Perak itu, barang antik yang mempunyai nilai sejarah tersendiri itu disimpan rapi sehingga ke hari ini untuk dipaparkan kepada generasi akan datang.

“Memang saya berkongsi minat sama dengan ayah iaitu menyimpan barangan antik untuk kepuasan sendiri namun semua itu berubah apabila saya dihadiahkan satu bendera Pulau Pinang oleh pesara tentera United Kingdom ketika belajar di Preston, Lanchashire pada tahun 2003.

“Bendera berukuran 116 cm panjang dan 58 cm lebar itu dibuat di Liverpool pada tahun 1950 berdasarkan kepada lambang yang dicetak pada tepi bendera, sekali gus menunjukkan usia bendera itu kini 72 atau tujuh tahun sebelum kita capai Merdeka.

“Memang saya tidak tahu kewujudan bendera itu sehingga ia dihadiahkan kepada saya. Daripada situ timbulnya minat untuk kumpul barangan antik membabitkan kemerdekaan untuk dijadikan rujukan bagi generasi muda di negara kita,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.

Prakash bersama isterinya M.Punita melihat koleksi gambar Agong dan perdana menteri pertama negara yang dipaparkan dalam muzium berkenaan.

Mengulas lanjut Prakash berkata, setiap kali tiba bulan Ogos dia akan mengeluarkan semua barangan berkaitan kemerdekaan itu untuk dipaparkan secara lebih dekat di Indian Heritage Muzium di Jalan Macalister di sini, yang diinspirasikan sendiri olehnya dan isteri sejak tahun 2018.

“Saya mahu barangan antik yang mempunyai nilai sejarah itu dimanfaatkan untuk generasi akan datang selain memperingati hari yang bermakna buat semua rakyat di negara ini.

Prakash menunjukkan bendera Pulau Pinang sebelum negara mengecapi kemerdekaan yang dihadiahkan kepada oleh pesara tentera di UK yang ditempatkan di Indian Heritage Muzium di Jalan Macalister, Pulau Pinang.

“Pengunjung akan diberikan penerangan mengenai koleksi yang ada di sini dan secara tidak langsung saya dan isteri percaya ia mampu menerapkan semangat cinta akan negara.

“Muzium ini dibuka setiap hari kecuali Selasa dan tiada sebarang bayaran dikenakan meskipun barangan yang dipaparkan ini koleksi peribadi saya,” ujarnya.

Cenderahati keluaran baju Merdeka pada tahun 1957 antara koleksi simpanan Prakash.

Tambah Prakash, dia mengharapkan muzium ini disenarai sebagai salah satu destinasi yang wajib dikunjungi pelancong yang datang ke Pulau Pinang. – MalaysiaGazette