Konsert Malai Solo Noraniza Idris akan berlangsung di Panggung Sari Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 21 hingga 23 Oktober ini.

KUALA LUMPUR – Selepas menunggu selama 36 tahun untuk menjayakan konsert berskala besar sebelum bersara, akhirnya rezeki berpihak kepada penyanyi terkenal, Noraniza Idris.

Impian penyanyi itu bakal direalisasikan menerusi Konsert Malai Solo Noraniza Idris di Panggung Sari Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 21 hingga 23 Oktober ini.

Namun dia mengakui, kos penerbitan untuk konsert ini sangat tinggi kerana irama Malaysia ini bukan sekadar konsert biasa dan tak sama dengan konsert lain.

“Pendekatan saya dalam irama Malaysia bukan sekadar hiburan tapi lebih kepada akademik, sahsiah dan kokurikulum. Lagu-lagu saya ini bersifat mendidik dalam pelbagai aspek.

“Bila saya nak bawa matlamat itu menjadi kenyataan ia agak sukar sebab memerlukan kos yang terlalu besar. Sebab itu saya tidak mampu hendak buat konsert itu daripada awal dulu sampailah sekarang ini baru menjadi.

“Bukanlah bermaksud saya dah ada penaja, tapi saya mempunyai satu pasukan yang bagus. Jika sebelum ini saya tidak cukup pasukan yang terbaik untuk perjuangkan matlamat saya sebelum ini, tapi kini alhamdulillah, selepas 20 tahun berlalu barulah saya tekadkan hati untuk jadikan konsert itu satu kenyataan pada Oktober ini.” katanya.

Noraniza yang mendapat gelaran Ratu Irama Malaysia mula mendapat perhatian ramai apabila dia muncul di pentas Anugerah Juara Lagu ke-12 pada 1997 menerusi lagu Awallah Dondang.

Dia yang tak pernah henti memperjuang dan memartabatkan irama muzik tradisional itu, akhirnya rasa lega kerana akhirnya, dapat menzahirkan hasrat menjayakan konsert Malai Solo itu.

Wanita berusia 54 tahun itu memberitahu, dia juga akan menjadikannya konsert itu yang terakhir dalam kariernya kerana sudah terlalu lama dalam memperjuangkan irama ini.

Tambahnya, sampai sudah saatnya dia berpendapat perlu mencapai satu perkara baharu dan konsert sedemikian perlu dianjurkan sekali dan tidak boleh berulang-ulang.

“Konsert Malai Solo ini saya gabungkan semua repertoire dari seluruh Malaysia dan jadikan sebagai satu konsert. Saya boleh buat konsert yang pelbagai selepas ini, tapi ia tidak akan menjadi satu konsert yang unik dan eksklusif,” katanya.

Noraniza Idris sudah berada dalam industri seni selama 36 tahun.

Menurut Noraniza Idris, konsert tersebut menggunakan khidmat 300 individu membabitkan pengarah muzik terkenal negara, Datuk Ramli MS, barisan pemuzik kelas A bertaraf filharmonik, kemunculan 40 pasukan artis budaya tetap, artis budaya jemputan, kumpulan tenaga kreatif yang mahir dalam teknologi persembahan dan banyak lagi.

“Konsert ini berdurasi 120 minit tanpa henti. Ada transisi kita cuba ketengahkan berkaitan saya. Tak berhenti sebab saya tidak mahu momentum penonton jatuh. Bila bercakap konsep, tak boleh melibatkan penari yang sedikit.

“Pentas pula sangat luas bagi memperlihatkan persembahan nampak gah, yang berperanan utama untuk memberi fokus kepada penglibatan dan karakter penari.

“Contoh, bila segmen lagu Orang Asli sudah tentu ada elemen mistik membabitkan orang luar yang mahir mengikut keperluan konsep, jadi ia perlu membabitkan artis budaya luar yang kita jemput khas untuk satu slot,” katanya.

Idea dan konsep Konsert Malai Solo Noraniza Idris adalah daripada Noraniza sendiri sementara pengarah konsert, Ahmad Saifulizam atau Gbam, pengarah persembahan, Mohd Seth Hamzah dan pengarah artistik, Siso Kopratasa.

Sementara itu, tiket-tiket boleh dibeli melalui www.ilassotickets.com dengan harga VVIP Awallah Dondang RM1,599, VIP Dikir Puteri RM899, Intan Payung RM399 dan Hati Kama RM299. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast