Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang dipengerusikan Tan Sri Mohamad Apandi Ali telah diserahkan kepada kerajaan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneliti secara terperinci dari semua aspek berhubung syor daripada laporan akhir Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau telah mendengar pembentangan laporan akhir itu dalam Jawatankuasa Pemantauan yang dipengerusikannya hari ini.

Menurut beliau, laporan akhir itu adalah yang bersifat bebas berasaskan pandangan dan pendapat pakar hasil analisa, penelitian serta pemerhatian Pasukan Petugas Khas sepanjang hampir sembilan bulan tempoh pelaksanaan dimulakan.

Katanya, lanjutan daripada itu, setiap syor dari Pasukan Petugas Khas berkenaan akan diteliti secara mendalam dan terperinci dari semua aspek agar sebarang tindakan susulan kerajaan berkaitan isu itu memberikan impak positif kepada negara.

Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar

“Saya akan membentangkan laporan akhir ini kepada Jemaah Menteri pada September ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Laporan akhir setebal hampir 500 muka surat itu diserahkan kepada Dr. Wan Junaidi oleh Pengerusi Pasukan Petugas Khas, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Turut hadir menyaksikan, pegawai-pegawai kanan kementerian dan jabatan berkepentingan iaitu Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Jabatan Peguam Negara dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, syor opsyen-opsyen terbaik kerajaan mengenai hala tuju berhubung kes berkenaan yang dijelaskan melalui laporan khas itu adalah susulan keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan Permohonan Semakan dan Permintaan Tafsiran, The Hague Belanda pada 2018 terhadap keputusan penghakiman ICJ pada tahun 2008.

Menurut Dr. Wan Junaidi, pelaksanaan Pasukan Petugas Khas itu merupakan komitmen kerajaan untuk memastikan kedaulatan negara sentiasa terjamin dan menjadi keutamaan. – MalaysiaGazette