Petugas makmal melakukan kerja-kerja Ujian (DNA) ketika Majlis Pelancaran Perkhidmatan Ujian (DNA), Benih Sawit di Orion Biosains Puchong, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 30 OGOS 2022.

PUCHONG – Pendapatan negara dijangka bertambah sebanyak RM4.3 bilion setiap tahun untuk tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Menteri Perusahaan dan Komoditi, Datuk Seri Zuraida Kamarudin optimis sasaran tersebut mampu dicapai selepas industri sawit memulakan Perkhidmatan Ujian Benih Sawit Suresawit berasaskan teknologi gen Shell yang canggih.

Jelas beliau, penggunaan teknologi canggih yang bakal menggunakan benih sawit berkualiti mampu meningkatkan produktiviti hasil minyak sehingga 60 peratus.

“Suresawit satu teknologi yang boleh meningkatkan produktiviti buah sawit. Ciptaan ini bertepatan dengan Malaysia ketika ini.

“Dengan ini buah sawit akan menghasilkan minyak yang berkualiti tinggi perahan banyak,” katanya selepas melancarkan Perkhidmatan Ujian Benih Sawit Suresawit di makmal DNA berteknologi tinggi Orion Biosains.

Hadir pada , Ketua Pengarah Lambaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parvees Ghulam Kadir.

Zuraida turut melawat makmal penyelidikan dan ujian DNA Orion Biosains yang dilengkapi peralatan pemprosesan berteknologi tinggi serta robotik menguji puluhan juta biji sawit setiap tahun dengan ketetapan 100 peratus.

Menurut Zuraida, perkhidmatan ujian ini membuktikan industri sawit Malaysia kini beralih ke era teknologi berasaskan DNA bekalan benih berkualiti tinggi.

“Ciptaan ini unik dan asli, Malaysia memanfaatkan ciptaan ini untuk memastikan industri sawit terus mapan dan lestari dan tingkatkan pendapatan negara dan pekebun kecil,” ujar beliau.

Melalui ujian ini, pekebun kecil dan pengusaha ladang sawit akan menikmati hasil peningkatan produktiviti buah tandan segar (BTS) dan pemprosesan sawit serta perahan. – MalaysiaGazette