Tertuduh ketika tiba di Mahkamah Sesyen Shah Alam pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang pengarah mengaku tidak bersalah atas tuduhan salah guna kuasa dalam pelantikan syarikat milik saudaranya bagi projek perisian bernilai lebih RM1.7 juta, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mazlan Mahadi, 51, membuat pengakuan itu di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mazlan sebagai Pengarah Pembangunan Perniagaan SSDU telah menggunakan jawatannya untuk mencadangkan lantikan terus dibuat kepada syarikat milik saudara wanitanya, MMSC Ventures Sdn. Bhd.

Lantikan itu bagi kontrak Perkhidmatan Design, Develop, Deploy And Maintain The AWS Landing Zone dengan nilai kontrak RM 1.8 Juta dan kesalahan itu dilakukan tertuduh di pejabatnya pada 25 Mac 2020.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irna Julieza Maaras menawarkan jaminan RM100,000 dengan penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bapa kepada dua anak itu turut diminta melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM berdekatan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM80,000 bersama penjamin dan membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan.

Tarikh sebutan semula kes pada 30 September depan. – MalaysiaGazette