BUKIT MERTAJAM – Tiga mat rempit ditahan direman selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan lumba haram di Leburaya Butterworth-Kulim di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, suspek direman tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suspek berusia 17 hingga 21 tahun itu ditahan selepas melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal di lebuh raya terbabit pada jam 12.30 tengah malam.

“Kesemua mereka didapati menunggang motosikal yang diubah suai sambil menduga kelajuan dan disyaki terlibat kegiatan lumba haram.

“Selain itu, semakan juga mendapati mereka menunggang motosikal tanpa lesen,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini, hari ini.

Tambah beliau, tindakan reman terhadap suspek dibuat bagi memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa kegiatan lumba haram adalah kesalahan serius.

“Pihak polis ingin menasihati orang ramai terutamanya remaja supaya tidak terlibat kegiatan lumba haram kerana jelas melanggar undang-undang selain mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” kata Cheng San. – MalaysiaGazette